Luar Negara Berita

Balotelli Raikan Gol Dengan Swafoto

Mario Balotelli mungkin terkenal dengan sifat nakal beliau, tetapi beliau sering memberikan sesuatu yang baru buat penyokong bola sepak untuk ketawa.

Terbaru, Balotelli telah menunjukkan gaya baru bagi meraikan gol pada hari Ahad lalu dengan mengambil swafoto bersama rakan sepasukan beliau dan telah menyiarkannya di media sosial ketika menang 2-0 ke atas Saint-Etienne.

Pemain Itali itu menjaringkan gol keempatnya dalam enam perlawanan Ligue 1 sejak menyertai Marseille dari Nice pada Januari lalu dengan menyambut baik hantaran sepakan sudut daripada Florian Thauvin pada minit ke 12 untuk jaringan akrobatik yang baik.

Dia mengambil telefon dari jurukamera di belakang gawang gol sebelum mengambil video bersama dengan rakan-rakannya dan terus  menyiarkannya di kisah Instagram milik beliau.

Dia bukan pemain pertama yang meraikan gol dengan gaya swafoto, pemain lagenda Roma, Francesco Totti juga pernah mengambil swafoto selepas menjaringkan gol ke atas Lazio pada tahun 2015.

Marseille menggandakan kelebihan mereka sembilan minit kemudian melalui penalti Thauvin dan menutup kemenangan dengan mudah.

Anak buah Rudi Garcia kini telah mengutip 13 mata daripada lima perlawanan liga terakhir mereka untuk melonjak ke tangga keempat, hanya lima mata membezakan mereka dengan Lyon dalam perlumbaan untuk tempat ketiga dan Liga Juara-Juara.