Luar Negara Berita

Kerajaan Saudi Nafi Hasrat Ambil Alih Manchester United

Kerajaan Arab Saudi hari ini menafikan bahawa Putera Mohammed Bin Salman berminat untuk membeli Manchester United.

Satu laporan daripada akhbar The Sun mendakwa bahawa Mohammed Bin Salman sebelum ini sedang menyiapkan tawaran untuk mengambil alih United dengan £ 3.8 bilion – satu perjanjian yang akan memberi keluarga Glazer keuntungan sebanyak £ 2.2 bilion.

Menteri Komunikasi dan Media Arab Saudi, Turki Al-Shabanah dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di laman rasmi Twitter milik beliau menyatakan pertemuan diantara wakil United dan pelabur dana Arab Saudi diadakan bagi membincangkan hal penajaan.

“Berita bahawa Putera Mohammed bin Salman berhasrat untuk membeli Manchester United adalah berita yang tidak benar,” tweet Al-Shabanah dibaca.

“Hakikatnya, kelab mengadakan mesyuarat dengan dana pelaburan awam untuk membincangkan projek penajaan iklan.”

Pada Oktober 2017, United bersetuju dengan perkongsian sebagai rakan strategik di Arab Saudi dengan Lembaga Sukan Umum (GSA) negara.

The Red Devils juga mempunyai perkongsian komersil dengan Saudi Telecom dan, pada masa yang sama pengarah urusan kumpulan United, Richard Arnold berkata: “Kelab ini mempunyai hubungan panjang dengan Arab Saudi dan mempunyai lebih dari lima juta peminat di rantau tersebut.

“Memiliki peluang untuk membantu membentuk industri bola sepak di sana adalah penghormatan yang besar dan ini adalah sesuatu yang kami percaya kami boleh membuat perbezaan yang besar.”