Liga Super Malaysia

Mengapa Hadin digugurkan

Hadin Azman merupakan satu-satunya pemain yang digugurkan daripada senarai 24 orang pemain yang dipanggil bagi menyarung jersi skuad bola sepak kebangsaan.

Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe meletakkan Hadin dalam senarai pemain menunggu bersama enam pemain yang lain. Hadin yang kini berusia 25 tahun merupakan kapten pasukan Felda United. Hadin beraksi selama 36 minit ketika menang keatas Indonesia di Stadium Bung Karno. Kekurangan pengalaman dan persembahan gugup di hadapan ribuan penyokong Indonesia ternyata membantutkan gaya permainan beliau.

 Lantas, setelah dikeluarkan dan ditukar dengan Mohamadou Sumareh, corak permainan Malaysia turut berubah. Kekurangan impak yang ditunjukkan Hadin mungkin menjadi punca utama beliau digugurkan.

Sepanjang tiga kali penampilan bersama skuad Harimau Malaya, anak muda yang berasal dari Kuala Lumpur ini telah menjaringkan satu gol pada perlawanan persahabatan menentang Afghanistan tiga tahun lepas. Daripada segi prestasi beliau bersama Felda United, ternyata pemain ini layak untuk dipanggil mewakili Malaysia. Namun yang demikian, kelincahan corak permainan bersama Felda United tidak dapat diterjemahkan ke dalam skuad kebangsaan.

 Pemain serangan tengah ini bukanlah tidak bagus tetapi hanya tidak mencapai kriteria pemain yang Tan Cheng Hoe inginkan. Prestasi semasa skuad kebangsaan juga berada di tahap yang baik serta momentum yang telah dibina ini perlu terus konsisten demi mencapai misi untuk layak ke Piala Asia. 

Sebagai penyokong pasukan bola sepak Malaysia, kita pastinya mengidamkan mutu persembahan yang berkualiti daripada para pemain negara. Sokongan tidak berbelah bahagi ini perlu terus mekar tidak kira disaat mencapai kemenangan mahupun ditimpa kekalahan. Ini semua soal satu pasukan, bukan hanya tertumpu kepada individu.