Malaysia Berita

KBS Minta Persatuan Bola Sepak Selesai Isu Tunggakan Gaji

Hal tunggakan gaji yang melanda beberapa pasukan bola sepak negeri mendapat perhatian Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Terbaru, KBS mempersoal kewajaran persatuan bola sepak negeri yang mengambil jalan mudah dengan memohon bantuan kementerian bagi menyelesaikan kewangan pasukan.

Menteri KBS, Syed Saddiq Syed Abdul Rahmand berkata kepada Berita Harian bahawa tindakan itu sama sekali tidak adil dan tidak bertanggungjawab.

“Tindakan sesetengah persatuan bola sepak negeri ini adalah sangat tidak adil… apabila mereka ada masalah, datang kepada KBS minta peruntukan… ini memang salah. Yang kedua, masalah yang dihadapi mereka (persatuan bola sepak) jadi mereka perlu selesaikan sendiri,” katanya.

Beliau juga menyatakan bahawa masalah tunggakan gaji bukanlah satu isu yang baru dan sering didengari KBS saban tahun.

“Saya minta kerjasama FA negeri ambil serius perkara ini, ia berulang setiap tahun. Ambil pemain janji bayar gaji mahal pada awal musim tapi musim belum habis sudah tidak boleh bayar (gaji)…lepas itu beri alasan kita tak jangka perkara ini berlaku,” katanya kepada Berita Harian.