Liga Super Malaysia Berita

‘Ubi’ Kedah Dapat Suntikan Semangat Dari Jurulatih Dan Pemain Senior

Pemain muda Kedah, Fadzrul Daniel berterima kasih kepada pengendali Lang Merah, Aidil Sharin Sahak yang memberi kepercayaan kepada beliau untuk membarisi kesebelasan utama pasukan Kedah.

Beliau yang menjaringkan gol pertama ketika bertemu Felda United, Sabtu lalu telah membuat tiga penampilan Liga Super musim ini.

Beliau dilihat sebagai antara watak penting yang memberi kestabilan kepada pasukan Kedah. Diletakkan di posisi pemain tengah menyerang, beliau berjaya memberi persembahan yang konsisten kepada pasukan Lang Merah apabila berjaya menyempurnakan kerja beliau dengan baik.

Setakat ini, beliau sudah memberikan satu bantuan gol dan satu jaringan peribadi sepanjang beraksi dalam tiga perlawanan bersama Kedah.

Memetik kata-kata beliau di Berita Harian, “Saya terharu dan berterima kasih kepada ketua jurulatih Aidil Sharin yang telah memberi sepenuh kepercayaan memilih saya untuk berada dalam senarai utama pada tiga perlawanan awal pasukan Kedah sebelum ini.”

“Dengan motivasi gol pertama yang saya jaringkan sewaktu menentang FELDA United Sabtu lalu, saya rasa lebih bermotivasi untuk terus melonjak dalam aksi perlawanan seterusnya.”

“Sebagai pemain muda, saya sedia menyahut cabaran yang dinyatakan itu dan saya juga berazam mahu terus meningkatkan mutu permainan dan memperbaiki kekurangan yang ada.”

Selain daripada nasihat yang diberikan pengendali Kedah, Fadzrul turut belajar daripada pemain-pemain senior seperti Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali dan Khairul Helmi bagi menjadi bekalan untuk beliau terus kekal konsisten.

“Mereka (senior) selalu melontarkan kata semangat serta sokongan moral termasuk tunjuk ajar bagaimana mengatasi perasaan gementar sewaktu dalam perlawanan.”

“Sebagai orang baharu, saya juga dapatkan lain-lain nasihat dan panduan daripada semua pihak dalam pasukan kerana tanpa itu, saya tak mungkin dapat beraksi dengan baik.

“Sebagai pemain muda, saya juga berazam mahu terus meningkatkan mutu permainan saya dan memperbaiki setiap kekurangan dalam persembahan seterusnya memastikan kejayaan pasukan Kedah musim ini.” katanya kepada Berita Harian.