Liga Super Malaysia Berita

Saddil Ramdani Kekal Di Pahang

Pemain sayap kelahiran Indonesia, Saddil Ramdani tidak akan turun beraksi bagi mewakili skuad Indonesia dalam kejohanan Piala B-23 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) di Kemboja, minggu hadapan.

Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) menjelaskan bahawa khidmat beliau masih diperlukan oleh pengendali pasukan, Dollah Salleh dalam menghadapi kempen Liga Super.

Justeru, PBNP tidak dapat menunaikan hasrat Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) yang sudah menghantar permohonan untuk mendapatkan Saddil Ramdani minggu lalu.

Memetik kata-kata PBNP di Berita Harian, “Tidak mungkin kita dapat melepaskan dia terutama ketika prestasi pemain berkenaan berada di kemuncak. Esok, skuad Tok Gajah bertandang ke Melaka bertemu pasukan Hang Tuah. Kita pasti akan terus menurunkan Saddil dalam usaha memburu kemenangan ketiga berturut-turut,” katanya, di sini, hari ini.

PBNP turut memohon maaf kepada PSSI serta penyokong bolasepak Indonesia kerana tidak dapat memenuhi permintaan mereka.

“Saddil kini menjadi antara tonggak skuad Tok Gajah musim ini. Prestasi yang dipamerkan pada dua perlawanan sebelum ini dengan menyumbangkan satu gol membuatkan kami meletakkan harapan lebih tinggi padanya.

“Saya lihat dia (Saddil) dapat menerima keputusan yang dibuat PBNP. Kita berharap keputusan ini tidak menjejaskan tumpuannya pada perlawanan menentanag Melaka United,” katanya kepada Berita Harian.