Liga Super Malaysia Berita

Misi Sukar Berdepan Kedah – Hadin Azman

Misi sukar bakal dihadapi Felda United FC dalam mencari tiga mata pada pertemuan Liga Super dengan Kedah di Stadium Darul Aman, esok.

Bagi kapten Felda United FC, Hadin Azman mengakui Kedah akan menggunakan kelebihan apabila bakal mendapat sokongan daripada penyokong sendiri.

“Jika dilihat kepada prestasi semasa, Kedah meraih empat mata dan ia keputusan yang baik buat mereka kerana memulakan dua perlawanan di tempat lawan. Sudah pasti beraksi di laman sendiri, mereka akan memastikan kemenangan dan sebagai pelawat, kami perlu memberikan tumpuan 100 peratus terutama sebaik perlawanan bermula.

“Kami tidak boleh tertekan, sebaliknya perlu mengawal permainan dan akan sedaya upaya untuk mengasak kubu tuan rumah,” katanya kepada Berita Harian.

Felda United FC telah mencatat dua keputusan seri dalam permulaan kempen Liga Super. Manakala Kedah berjaya menundukkan PKNP pada perlawanan pertama sebelum seri dengan Perak minggu lalu.

Justeru beliau tidak mahu kunjungan ke Alor Star esok berakhir dengan kekecewaan.

“Kami tidak mahu kunjungan ke Alor Setar berakhir dengan kekecewaan walaupun skuad Helang Merah dilihat memiliki banyak kelebihan terutama sokongan padu peminat.

“Namun, sebagai pasukan bukan pilihan, permainan di atas padang akan menentukan prestasi sebenar pasukan sepanjang tempoh 90 minit permainan,” kata beliau kepada Berita Harian.