Malaysia Berita

MFL Beri Suntikan Semangat Buat Perak

Keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) meluluskan permohonan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) untuk menunda perlawanan pusingan ketiga kempen Liga Super diantara Perak dan Kuala Lumpur disambut baik oleh pengendali Perak, Mehmed Durakovic.

Bagi beliau, keputusan ini sekaligus memberi suntikan semangat buat anak buahnya menjelang aksi play-off kelayakan Liga Juara-Juara Asia bertemu kelab daripada Korea Selatan, Ulsan Hyundai, Selasa depan.

Penundaan ini bakal memberi ruang kepada anak buah Durakovic untuk mempersiapkan diri dan mengembalikan kecerdasan setelah kepenatan beraksi selama 120 minit menentang Kitchee, Selasa lalu.

“Saya cukup risau bagaimana kami akan bertemu Kuala Lumpur bila lihat keadaan pemain turun jalani latihan pada pagi ini kerana belum cergas selain hanya beri tumpuan proses pemulihan semata-mata.

“Jadi, sebaik ketahui berita ini (tunda perlawanan) sejurus selepas sesi latihan tadi, saya ucapkan syukur dan ini merupakan satu berita gembira bukan sahaja buat saya tetapi seluruh pemain.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada MFL kerana sudi beri kelonggaran kepada Perak selain persetujuan pihak Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur(KLFA) serta pihak-pihak lain yang sudi membantu.

“Perlawanan dengan Ulsan Hyundai ini amat besar ertinya buat Perak kerana kami juga mahu ikut jejak langkah JDT (Johor Darul Ta’zim) bermain di pentas Liga Juara-Juara Asia, ” katanya ketika dihubungi, pada hari ini.

Perak yang berjaya menumpaskan kelab Hong Kong, Kitchee SC di halaman sendiri menerusi sepak penalti 6-5 selepas terikat 1-1 pada masa tambahan telah membuat permohonan kepada MFL pada 13 Februari yang lalu bagi menunda aksi Liga Super yang bakal berlangsung Jumaat ini.

Demi agenda bola sepak kebangsaan, MFL meluluskan permohonan Perak dan perlawanan itu akan dipinda kepada tarikh yang akan diumumkan kelak.

Justeru, Mehmet berjanji tidak akan mensia-siakan peluang yang diberikan oleh MFL dan bakal menurunkan kesebelasan terbaik beliau.

“Lawan kami sememangnya antara yang terbaik di Asia malah mereka saya difahamkan mereka punyai 48 pemain berdaftar, satu jumlah cukup besar hendak dibandingkan dengan kami.

“Namun, dengan situasi terbaharu ini, saya yakin boleh turunkan semua pemain terbaik yang saya ada ketika di Ulsan nanti, ” katanya.