Liga Super Malaysia Berita

TMJ Rendah Diri, Label JDT Underdog

Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengambil sikap merendah diri dengan menyatakan bahawa skuad Harimau Selatan bukanlah pencabar untuk saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Memetik kata-kata beliau di laman rasmi Facebook, Johor Southern Tigers, Tunku Ismail menyatakan bahawa juara lima kali liga super terbabit hanyalah sebuah pasukan ‘underdog’.

Justeru, beliau meminta kepada semua agar tidak selalu bercakap mengenai JDT.

“Pada tahun ini, JDT hanyalah sebuah pasukan ‘underdog’.

“Tidak perlulah semua perkara sehinggakan surat khabar, media-media, laman-laman sukan tidak rasmi, pasukan-pasukan termasuklah para pemain dari pasukan lain asyik bercakap mengenai JDT sahaja.

“Banyak lagi pasukan dalam negara ini. Jadi tidak perlu risaukan kami kerana kami hanyalah pasukan ‘underdog’ dan awak semua lagenda. Kami hanya kelab kecil yang bercita-cita tinggi.” kata beliau.

Musim ini adalah musim yang besar buat JDT apabila bakal beraksi di Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Tambahan pula JDT sudah mendapatkan beberapa pemain bintang bagi menghadapi saingan ACL musim ini.