Malaysia Berita

Safee Sali Tuntut Gaji

Belum pun habis cerita kemelut tunggakan gaji pemain musim lalu, Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) dikhabarkan gagal untuk melunaskan dua bulan gaji pemain musim ini.

Penyerang kebangsaan yang baru berkelana ke utara tanah air, Safee Sali memberitahu bahawa pihak PFA sebelum ini telah berjanji kepada pemain musim ini untuk membayar gaji mereka sebelum Liga Malaysia (Liga-M) bermula.

Tarikh bermulanya Liga-M sudah hampir dengan berbaki dua hari lagi.

Justeru, memetik kata-kata beliau di Stadium Astro, Safee Sali berharap PFA melunaskan pembayaran gaji seperti yang dijanjikan.

“Seperti yang dijanjikan, mereka akan melunaskan pembayaran itu sebelum bulan depan.

“Saya masih menunggu dan mengharapkan sesuatu akan dilakukan menjelang hujung bulan ini,” kata Safee.

Pasukan Perlis sebelum ini dilanda kemelut tunggakan gaji apabila sekumpulan pemain musim lepas tampil menuntut bayaran tunggakan gaji.

PFA juga telah bersetuju dengan pemain musim lepas untuk menyelesaikan segala tunggakan gaji dalam tempoh 60 hari.

“Saya akan memastikan kami tidak akan menghadapi masalah tunggakan gaji lagi.

“Jika ia terjadi lagi, saya akan melakukan sesuatu supaya pihak pengurusan akan menjelaskan pembayaran.

“Apa-apa masalah yang dihadapi mereka perlu diselesaikan tanpa menjejaskan pemain musim ini,” tambahnya.