Malaysia Berita

Tabung CAS KFA Penuh Separuh

Niat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) membawa kes perpindahan kontroversi melibatkan bintang muda negara, Akhyar Rashid ke pengetahuan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) hampir pasti menjadi kenyataan.

Terbaru, Tabung CAS yang dilancarkan oleh KFA bagi menampung kos perbicaraan dikhabarkan telah mencecah sehingga RM50,000. Pihak KFA memerlukan lebih daripada RM100,000 bagi menampung kes tersebut.

Memetik kata-kata beliau kepada Harian Metro, Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Asmirul Anuar menegaskan bahawa pihak KFA akan tetap dengan pendirian mahu membawa isu ini kepada pihak CAS disebabkan merasa wujud ketidakadilan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atau Johor Darul Ta’zim (JDT).

Difahamkan juga KFA telah menghantar surat peguam kepada pihak FAM berikutan isu tersebut.

Beliau turut menyatakan bahawa KFA bertegas dalam mempertahankan prinsip perlembagaan dan undang-undang. Sebarang keputusan yang dibuat oleh CAS selepas ini, KFA akan menerima dengan hati yang terbuka.

“Isu sama ada kami akan berpuas hati atau tidak, ia tidak perlu dipersoalkan kerana KFA akan sentiasa mematuhi setiap prosedur yang dibuat sehingga ke peringkat tertinggi.

“Sebab itulah Kedah mahu membawa kes ini ke peringkat CAS, tetapi baru-baru ini ada ‘viral’ foto Jasnie Shafie (Pengerusi Media KFA) berada di Switzerland. Kononnya dia membuat lawatan ke CAS, tetapi tidak benar, ia tidak berkaitan dengan urusan KFA,” katanya kepada Harian Metro.