Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil inisiatif bagi meningkatkan mutu pengadilan di Malaysia yang sering menjadi bualan hangat para penyokong bolasepak dengan menubuhkan badan bebas Pegawai Perlawanan Profesional Malaysia (PMOM).
Selain bertujuan untuk meningkatkan mutu pengadilan bola sepak sepanjang kempen Liga Malaysia (Liga-M) berlangsung, ia juga bertujuan untuk melahirkan lebih ramai pengadil yang profesional.
Penubuhan PMOM juga bakal menyaksikan usaha FAM bagi meminimumkan kelemahan yang terdapat dalam sistem pengadilan di Liga-M
Memetik kata-kata Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi berkata kepada Berita Harian, “kami perlu akui mutu pengadilan Liga-M selalu menjadi pertikaian, itu sebabnya kami berusaha sebaik mungkin mencari jalan penyelesaian masalah ini.
“Kami nak tingkatkan mutu pengadilan supaya boleh diterima peminat. Kami nak kurangkan kelemahan yang ada dengan melihat apa faktor penyebab mutu pengadilan tidak mencapai tahap yang boleh diterima penyokong.
“Jadi usaha ini dibuat FAM dan MFL (Liga Bolasepak Malaysia) untuk memastikan mutu pengadilan berada pada tahap maksimum. Mungkin bukan tahap sempurna kerana di mana-mana liga pun mutu pengadilan tidak sempurna.
“Apa yang diusahakan FAM dan MFL ini sebagai satu langkah proaktif supaya kami mampu menghasilkan pengadil berkaliber,” katanya.
Sebelum itu, Yusoff telah membuat lawatan ke England, Ahad lalu bagi bertemu Professional Game Match Officials Limited (PGMOL) bersama-sama dengan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam; Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Md Dali Wahid dalam membincangkan hala tuju serta menaiktarafkan mutu pengadilan di Malaysia.