Liga Super Malaysia Berita

Demi Harimau Malaya, Lee Tuck Sanggup Serahkan Pasport British

Pemain tengah Terengganu, Lee Tuck tidak akan bersikap teragak-agak bagi menyerahkan pasport British miliknya bagi merealisasikan impian beliau menyarung jersi pasukan kebangsaan.

Tuck adalah pemain kelahiran British yang mempunyai darah kacukan Malaysia melalui neneknya dilahirkan di Malaysia berkata beliau tidak mempunyai masalah untuk menyerahkan pasport Britishnya.

Di bawah peraturan Fifa, pemain mesti mempunyai hubungan leluhur dengan negara yang mereka wakili sama ada ibu bapa atau datuk nenek yang dilahirkan di sana.

Tambah lagi, pemain mesti menetap sekurang-kurangnya lima tahun selepas mencapai umur 18 tahun di wilayah yang relevan dan tidak pernah bermain untuk mana-mana pasukan kebangsaan yang lain.

“Saya akan melakukannya jika ia akan menjadikan saya pemain Malaysia,” kata Tuck.

“Ia adalah impian saya sejak mula lagi iaitu  untuk bermain dengan Harimau Malaya. Saya kini menganggap Malaysia rumah saya.

“Hati saya sekarang di sini dan ini tidak akan berubah”.

Tuck berharap dapat mengikuti jejak langkah beberapa pemain asing yang telah diberikan kewarganegaraan Malaysia. Antaranya pemain asing yang mewakili Malaysia ialah Brendan Gan, Matthew Davies dan Kiko Insa.