Liga Super Malaysia

MFL Ingatkan Pasukan Untuk Daftar Pemain

Biarpun tarikh akhir untuk menyenarai 30 pemain adalah pada 20 Februari depan, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengingatkan kepada semua pasukan agar menghantar senarai nama pemain pada jendela pendaftaran pertama pada Khamis ini.

Ketua Pegawai Operasi MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd berkata setiap pasukan diwajibkan mendaftar 20 pemain termasuk tiga penjaga gol terlebih dahulu pada Khamis depan.

Ini bagi mengelak daripada berlaku beberapa masalah kerana setiap 24 pasukan Liga Perdana dan Liga Super telah diberikan masa yang sekucupnya untuk mendaftar pemain mereka sejak jendela perpindahan dibukan pada 29 November tahun lalu.

“Semua pasukan sudah dimaklumkan mengenai pendaftaran awal 20 pemain pada 10 Januari ini. Pemain yang didaftarkan ini penting untuk pasukan beraksi pada perlawanan pertama pada 1 Februari depan.

“Selain 20 pemain, mereka juga diwajibkan mendaftar tujuh pegawai pasukan dan berdasarkan perjumpaan pihak MFL dengan pasukan bertanding sebelum ini, mereka nampak sudah bersedia untuk mendaftarkan pemain.

“Cuma sebelum ini ada pasukan berdepan masalah untuk mendaftarkan pemain import kerana memerlukan dokumen tertentu termasuk ITC (Sijil Perpindahan Antarabangsa),” katanya kepada Berita Harian.

Beliau juga percaya bahawa setiap pasukan sudah sedia maklum dengan prosedur pendaftaran pemain. Terbaru, MFL telah memperkenalkan sistem FAM MYPass bagi menggantikan Sistem Pengurusan Maklumat Bolasepak (SPMB) sejak 2017 bagi memudahkan pasukan yang bertanding untuk mendaftar pemain.

“Kebanyakan pasukan sudah biasa beraksi dalam liga kita dan mereka tahu mengenai prosedur pendaftaran ini. Kita juga tidak melakukan sebarang perubahan melainkan memudahkan lagi proses ini dengan menggunakan sistem FAM MYPass,” katanya.