Malaysia Berita

Piala AFF Suzuki 2018 : Berilah Saya Peluang – Irfan Zakaria

Irfan Zakaria, 23 tahun mengakui tidak beraksi cemerlang sewaktu Malaysia seri bertemu Thailand pada separuh akhir kedua, Sabtu lalu.

Beliau yang masuk menggantikan Aidil Zafuan ternyata tidak menunjukkan aksi yang konsisten sewaktu menentang skuad Gajah Perang sehingga beberapa siri kesilapan beliau mengakibatkan skuad Harimau Malaya dihukum dua kali oleh Thailand. 

Pemain skuad Kuala Lumpur ini berkata jika diberi peluang sekali lagi oleh Tan Cheng Hoe, beliau mahu melakukan aksi yang terbaik dan akan membalas kepercayaan jurulatih. Pada perlawanan dengan Thailand tempoh hari, ia merupakan aksi pertama beliau sepanjang kempen Piala AFF Suzuki 2018.

“Saya sangat tidak berpuas hati dengan persembahan saya kerana ia aksi pertama saya. Kini (perlawanan akhir) ia menjadi perlawanan hidup mati pasukan, tetapi saya sedia meningkatkan prestasi.

“Jika masih diberi peluang, saya akan cuba memberikan yang terbaik,” kata Irfan.

Beliau turut mengakui bahawa perasaan gugup dan gementar apabila masuk mengantikan Aidil yang mengalami kecederaan.

“Setiap pemain pasti gementar dan memerlukan masa untuk bertenang, tetapi rakan sepasukan serta jurulatih memberi sokongan walaupun saya melakukan kesilapan dan mereka memberikan saya keyakinan semula.

“Jurulatih tidak menyalahkan saya atas beberapa kesilapan, saya akan menerima apa saja keputusan dan jika diberikan peluang, saya akan buat yang terbaik,” kata Irfan kepada Berita Harian.

Malaysia bakal bertemu Vietnam di pentas akhir Piala AFF Suzuki pada Selasa ini di Stadium Nasional Bukit Jalil dan perlawanan timbal balik akan berlangsung Hanoi, empat hari selepas itu.