Malaysia Berita

Piala AFF Suzuki 2018 : Jangan kecewakan saya dan negara kita – PM

Skuad negara hari ini bertemu Perdana Menteri, Dr Mahathir di Perdana Putra bagi menyuntik semangat menjelang pertemuan akhir Malaysia, Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa depan.

Perdana Menteri yang dijadualkan akan turun ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan perlawanan akhir menyatakan kepada skuad Harimau Malaya bahawa tidak mengecewakan beliau dan negara.

“Jangan kecewakan saya dan negara kita” kata Perdana Menteri.

Beliau menyatakan bahawa kemenangan adalah satu perkara yang akan membanggakan negara serta menaikkan maruah Malaysia di mata dunia.

“Kita nak cari kemenangan kerana kita nak berbangga dengan kebolehan negara kita. Sebagai rakyat Malaysia, kita bertanggungjawab mempertahankan maruah dan kehormatan negara,” Kata beliau bagi menyuntik semangat kemenangan kepada pasukan negara.

Malaysia dalam misi membalas dendam kepada Vietnam setelah tewas 0-2 kepada pasukan sama dalam aksi Kumpulan A. Kemenangan ke atas Thailand baru-baru ini adalah bukti, bahawa skuad negara belum mengaku kalah dan mahu membuktikan sesuatu.

Justeru, Perdana Menteri meminta kepada para pemain agar menjaga diri masing-masing serta fokus bagi mencapai sesuatu kemenangan.

“I hope you will work hard and practice a lot. Live, sleep and think only of football and winning for Malaysia (Saya harap anda bekerja keras dan banyakkan berlatih. Hidup, tidur dan fikir hanya bola dan menang untuk Malaysia),” katanya kepada para pemain.

Pada pertemuan itu, Dr Mahathir diberi penghormatan dengan sebuah jersi No. 7 yang disampaikan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Malaysia akan bertemu Vietnam menjelang pertemuan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa depan. Dikhabarkan sebanyak 20,000 tiket dalam talian sudah habis dijual dalam masa 30 minit. Baki tiket final masih boleh dibeli dikaunter Stadium Nasional Bukit Jalil yang akan dibuka Ahad ini.

Di akhir kata, Perdana Menteri mengucapkan selamat maju jaya buat skuad Harimau Malaya dan berharap kita akan memperoleh kemenangan.

“Saya harap kita dapat menang dalam kedua-dua perlawanan,” katanya.