Malaysia Berita

Piala AFF Suzuki 2018 : Malaysia vs Myanmar (Praperlawanan)

Malaysia

Kekuatan : Malaysia yang akan turun bermain dilaman sendiri pasti akan menggunakan kelebihan ini untuk menewaskan Myanmar. Dijangka 40,000 peminat bolasepak Harimau Malaya akan turun menyokong pasukan negara pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A Piala AFF Suzuki 2018. Motivasi serta sokongan daripada peminat amat diperlukan ketika ini. Selain daripada itu, Malaysia pasti akan menurunkan Norshahrul Idlan Talaha yang telah menjaringkan tiga gol sepanjang kempen ini bermula, dengan dua gol dijaringkan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kelemahan : Malaysia perlu elak daripada melakukan sebarang kesalahan mudah yang meranapkan impian Malaysia untuk mara ke peringkat seterusnya. Apa yang menjadi kerisauan adalah barisan tengah Malaysia yang tidak stabil sambil pertahanan Malaysia yang dilihat goyah. Walaupun bermain dengan baik ketika tewas dengan Vietnam, Malaysia perlu segera memperbaiki kelemahan mereka dengan mengelak daripada melakukan kesilapan mudah yang akan memberi kelebihan kepada skuad lawan untuk menjaringkan gol.

Pemain Yang Akan Menyerlah : Norshahrul Idlan Talaha pasti akan menjadi pencetus kebangkitan Malaysia pada perlawanan ini. Beliau yang dilihat sebagai kuda tua pada permulaan kempen oleh segelintir penyokong telah menjadi antara pemain paling menyerlah sepanjang kempen ini berlangsung. Pemain berusia 32 tahun itu telah menjaringkan tiga gol sepanjang kempen Piala AFF Suzuki 2018.

 

Myanmar

Kekuatan : Myanmar akan turun dengan kelebihan satu mata apabila mereka berjaya mengikat Vietnam seri tanpa jaringan. Myanmar yang berada di tangga kedua liga dengan kelebihan satu mata berbanding pasukan negara hanya perlu mencatat keputusan seri jika mahu melayakkan diri ke peringkat seterusnya. Selain daripada itu, Myanmar pasti akan menggunakan khidmat Aung Thu, pemain kelab Polis Tero FC (Liga Thailand), yang telah menjaringkan 11 gol ketika beraksi untuk kelab beliau dan menjadi pemain ketiga dalam carta penjaring terbanyak Liga Thailand. 

Kelemahan : Apa yang menjadi kelemahan pasukan Myanmar adalah gagal menterjemahkan peluang. Pada perlawanan yang lepas, Myanmar mempunyai 11 cubaan ke arah pintu gol Vietnam manakala 6 daripada cubaan tersebut tepat ke arah gawang gol Vietnam. Tetapi tiada satu yang berjaya menembusi jaring pasukan Vietnam.

Pemain Yang Akan Menyerlah : Aung Thu, pemain berusia 22 tahun yang bermain bersama pasukan Liga Thailand, Polis Tero FC pasti akan menjadi pemain yang akan menyerlah pada perlawanan ini. Beliau yang telah menjaringkan 11 gol untuk pasukan Polis Tero FC akan turun dengan reputasi sebagai penyerang yang perlu diberi perhatian.

Ramalan : Malaysia 1 – 0 Myanmar