Malaysia Berita

Lawan JDT Di Liga Juara-Juara Kekal Misteri

Johor Darul Ta’zim (JDT) kelab pertama daripada Malaysia yang akan beraksi di kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) masih belum dapat mencongak lawan mereka pada peringkat kumpulan nanti.

Tiga lagi pasukan lawan JDT hanya akan diketahui selepas Liga Korea Selatan berakhir serta pemenang playoff ACL diketahui pada 19 Februari depan.

Bagi pengendali JDT, Luciano Figueroa, beliau akan mempersiapkan pasukan lebih awal kerana saingan ACL adalah satu cabaran yang besar.

“Kami sedar ACL amat sukar, ia saingan tahap tinggi jadi kami perlu bersedia untuk berikan yang terbaik.

“Kami akan cuba memberikan saingan terbaik, membuat persiapan rapi serta tunjukkan kemampuan kami kerana kejohanan ini penting buat kelab. Ia sejarah baru buat kelab dan Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas majlis undian itu.

JDT akan memulakan saingan ACL pada 4 Mac depan sebelum memasuki pusingan kalah mati pada 17 Jun nanti.