Piala Malaysia Berita

Sabah Harap Magik Ahad Ini

Pengendali Sabah, Jelius Ating berharap para pemain dapat melupakan kekalahan di tangan Perak menjelang aksi kedua separuh akhir Piala Malaysia bertemu Perak, Ahad ini.

Beliau berkata, para pemain masih mempunyai 90 minit untuk membuktikan bahawa mereka layak berada di pentas final Piala Malaysia.

Bekas pemain dan juga lagenda Sabah itu menambah lagi, kebangkitan itu boleh direalisasikan jika para pemain percaya dengan kemampuan mereka dan bermain bermati-matian untuk bangkit.

Sabah sebelum itu tewas pada aksi pertama separuh akhir Piala Malaysia di Ipoh yang menyaksikan mereka bolos 5 gol tanpa balas.

“Kekalahan itu memang sukar dilupakan, tetapi saya tegaskan kepada pemain bahawa mereka masih mempunyai 90 minit untuk membuktikan kemampuan mereka.

“Saya masih percaya dengan ungkapan bola itu bulat dan dalam bola sepak apa pun boleh berlaku… pasukan gergasi seperti Brazil pun boleh kalah 7-1 di gelanggang sendiri. Begitu juga dengan kelab besar yang pernah mengalami nasib sama tetapi bangkit semula selepas itu,” katanya kepada Berita Harian.

Pengendali kelahiran Sabah itu juga berharap para pemain dapat menamatkan saingan Piala Malaysia dengan baik dan mendapat keputusan yang boleh dibanggakan.

“Alang-alang kita sudah sampai ke tahap ini (separuh akhir Piala Malaysia), jadi saya mahu pemain menamatkannya dengan prestasi baik kerana kita masih ada 90 minit walaupun ketinggalan lima gol.

“Sekarang ini terpulang kepada pemain untuk membuktikannya, kalau pun kita tidak dapat pergi lebih jauh (final), sekurang-kurangnya pemain mempamerkan aksi terbaik mereka, lebih-lebih di hadapan penyokong sendiri,” katanya.