Malaysia Berita

Syed Saddiq Membayangkan Kerjasama Syarikat Swasta Dan NFDP

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada Kontinjen Malaysia ke Sukan Para Asia, Jakarta di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan, membuat gesaan agar syarikat swasta turut membantu dari segi tajaan kepada Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP)

“Jika mereka boleh melabur beratus juta ringgit untuk membeli kelab luar dan pemain luar negara, mengapa tidak mereka menyumbang bakti dalam program pembangunan bola sepak tanah air,” kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Tambah beliau, ketika ini beliau sudah mengenal pasti beberapa syarikat swasta yang berpontensi untuk menjalinkan kerjasama.

Antaranya adalah Pengerusi Eksekutif Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan yang juga pemilik kelab bola sepak Cardiff City.

“Buat ketika ini saya tidak boleh maklumkan nama pihak terbabit. Tapi saya sudah mengenal pasti beberapa penaja yang berpotensi untuk menjalinkan kerjasama membawa program bola sepak negara ke peringkat lebih tinggi.

“Saya amat berharap sokongan daripada pihak terbabit yang sebelum ini memang menunjukkan minat agar dapat membantu bola sepak tempatan mengorak langkah ke arah lebih baik.

“Saya tahu mereka ini menjiwai bola sepak tanah air tapi mereka mahu dana yang disalurkan itu melalui proses yang betul supaya setiap sen disalurkan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin,” katanya.

Syed Saddiq berkata perbincangan ringkas sudah berlaku dan pihak terbabit memberi maklum balas positif namun belum ada sebarang kata putus.

Tambahan beliau, pengurusan dana akan menjadi perkata paling utama selepas ini supaya setiap sen digunakan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.

NFDP adalah program pembangunan bola sepak yang ditubuhkan pada 2014.