Meskipun tewas 4-2 kepada Thailand pada perlawanan kedua peringkat Kumpulan A Kejohanan AFC B-16 tempoh hari, Lim Teong Kim masih belum mahu mengaku kalah dan menganggap misi anak-anak buahnya untuk beraksi di Piala Dunia B-17 belum berakhir.
Katanya, Jepun yang seri 0-0 menentang Tajikistan memberi sedikit harapan kepadanya untuk merencana strategi bagi menewaskan salah satu gergasi bola sepak Asia itu sekali gus mara ke pusingan suku akhir.
“Semuanya belum berakhir kerana saya yakin kepada semua pemain dan mereka masih ada peluang untuk aksi terakhir menentang Jepun.
“Saya menganggap pemain saya sebagai pahlawan, cuma aksi kedua ketika berdepan Thailand itu memang kami tidak bernasib baik.
“Pemain sudah menunjukkan gandingan yang sangat baik, mereka boleh melakukan kebangkitan.
“Walaupun kehilangan Luqman untuk aksi seterusnya, namun kami tetap mempunyai ramai lagi pemain untuk mengisi kekosongan tersebut dan ia tidak menjadi masalah kepada pasukan,” katanya.
Teong Kim juga mahukan semua pemain beraksi dengan kemampun sebenar meskipun tanpa kehadiran Luqman ketika berdepan Jepun esok.
“Ramai pemain yang boleh beraksi di bahagian serangan kerana kami merupakan sebuah pasukan besar. Ia adalah peluang kepada pemain lain untuk bermain kerana mereka juga mampu beraksi baik untuk posisi tersebut,” katanya.
Malaysia kekal dengan tiga mata dan berada di tangga ketiga dan akan berebut dengan Thailand yang mengumpul jumlah mata yang sama tetapi berada di tangga kedua.