Malaysia Berita

Akhyar Rashid adakan perbincangan dengan kelab Thailand, bukan JDT

Isu penghijrahan penyerang sensasi Kedah, Akhyar Rashid sedang hangat diperkatakan apabila beliau dilihat berada di Johor baru-baru ini.

Lantas, timbul spekulasi bahawa beliau akan turut berhijrah ke JDT sama seperti rakan sepasukannya dahulu, Syafiq Ahmad.

Dengan prestasinya yang berada pada tahap yang memberangsangkan, tidak mustahil untuk juara lima kali Liga Super, JDT berminat untuk mendapatkan khidmat beliau.

Namun, ternyata desas-desus itu tidak benar apabila Akhyar sudah pun mengadakan perbincangan bersama salah sebuah kelab di liga Thailand untuk beraksi di sana pada musim depan.

Menurut sumber-sumber yang rapat dengan Akhyar, gambar beliau yang berada di Johor itu sebenarnya sekadar lawatan sahaja.

“Saya boleh katakan dia hanya pergi melawat ke sana,” katanya kepada mStar Online.

Malah hakikatnya, pemain itu sebenarnya dalam proses perbincangan dengan sebuah kelab di Thailand.

“Buat masa sekarang ini, Akhyar masih di tahap perbincangan dan ia menampakkan petanda yang positif.

“Jika ia benar-benar berlaku, ia satu peluang yang baik buat Akhyar untuk mencari pengalaman di luar negara.

“Saya tidak boleh berkongsi apa-apa lagi maklumat lanjut kerana ia boleh mengganggu perbincangan ini dan kami juga perlu menghormati Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) memandangkan kontrak Akhyar masih berbaki setahun,” kata sumber tersebut.