Malaysia Liga Super Malaysia

Johor Darul Ta’azim lepaskan Hadi Fayyadh

Juara Liga Super 2018, Johor Darul Ta’azim hari ini mengumumkan bahawa mereka telah membatalkan kontrak pemain muda, Hadi Fayyadh Abdul Razak bagi membolehkannya mencari peluang lain.

Pemain berusia 18 tahun yang beraksi di Sukan Asia itu baru-baru ini telah menjalani ujian bersama kelab Jepun.

Perkara ini diumumkan oleh Pengarah Sukan JDT, Alistair Edwards dan disiarkan menerusi laman Facebook rasmi mereka, Johor Southern Tigers.

“Kontrak beliau telah ditamatkan bulan lalu disebabkan oleh kesungguhan beliau untuk ke Jepun dan kami memutuskan bahawa dengan menamatkan kontrak tersebut ia akan membolehkan Hadi Fayyadh untuk membuat sebarang rundingan kontrak dengan pihak lain tanpa terikat dengan JDT.”

Adakah dengan melepaskan Hadi akan memudahkan sebarang rundingan kontrak bersama kelab Jepun? Jika ada kelab Jepun yang berminat dengan Hadi, bukankah bagus jika mereka membayar wang perpindahan kepada JDT?

Mungkin juga ini satu perkara yang bagus. Sekarang kita perlu tunggu dan lihat ke mana hala tuju Hadi. Mampukah dia memikat kelab luar dengan lebih mudah selepas ini? Atau dia akan kekal di Liga Malaysia buat sementara waktu dan menyertai pasukan yang akan menurunkannya secara konsisten? Mungkin Kuala Lumpur?