Piala Malaysia

Juara Piala Cabaran akan dapat slot ke Piala Malaysia suatu hari nanti – Kevin Ramalingam

Kejohanan Challenge Cup ini merupakan satu kejohanan baru yang dianjurkan oleh FMLLP dan disertai oleh lapan pasukan terdiri daripada pasukan Liga Super dan Liga Premier yang tidak layak ke Piala Malaysia.

Mungkin ada yang akan memandang Kejohanan Challenge Cup sebagai kejohanan kelas kedua, tetapi menurut Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam, kejohanan Challenge Cup ini mungkin akan menjadi salah satu cara untuk pasukan layak ke Piala Malaysia.

Memetik daripada laporan Stadium Astro, Kevin berkata: “ Untuk dua tahu pertama, kami akan fokus lebih kepada untuk menjadikan kejohanan ini teratur dan menarik dari segi penganjuran.

“Jika dalam dua musim pertama ini semuanya berjalan lancar, kami mungkin akan memperkenal insentif untuk beraksi di Piala Malaysia.

“Kami akan membentangkan proposal ini kepada ahli lembaga MFL sebelum keputusan dibuat.”

Jika perancangan ini dapat dijadikan kenyataan, mungkinkah Challenge Cup ini akan berlangsung serentak dengan Liga Super dan Liga Premier? Jika ya, bagaimana pula pemilihan pasukan yang akan turut serta kerana kedudukan akhir pasukan dalam liga memainkan peranan?