Berita Malaysia

Skuad bawah 23 tahun perlu lakukan persiapan awal untuk Kelayakan Piala AFC B23

Persiapan perlu bermula sekarang,

Itulah yang diungkapkan oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin selepas Malaysia tewas bidaan menjadi tuan rumah Piala AFC bawah 23 tahun kepada Thailand baru-baru ini.

Kegagalan Malaysia menjadi tuan rumah bermakna skuad bawah 23 tahun negara di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee perlu beraksi dalam pusingan kelayakan, sama seperti yang dilakukan mereka untuk layak ke kejohanan yang sama tahun ini.

“Kita baru tahu AFC membuat keputusan untuk memilih Thailand sebagai tuan rumah pusingan akhir Kejohanan AFC B-23. Kita kalah bidaan dan saya sudah maklumkan kepada Datuk Ong Kim Swee supaya memberikan laporan Sukan Asia baru-baru ini untuk kita membuat persiapan,” kata Datuk Hamidin seperti dilaporkan oleh Berita Harian.

Satu perkara yang perlu diambil kira jika mahu Malaysia sekali lagi melayakkan diri ke pusingan akhir Kejohanan Piala AFC Bawah 23 tahun yang juga memberikan slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, semua pasukan Liga Malaysia perlu memberi kerjasama.

Pada tahun lalu, ketika pusingan kelayakan di Bangkok, beberapa pemain tidak dilepaskan oleh pasukan masing-masing menyebabkan Datuk Ong Kim Swee berdepan kesukaran untuk membentuk skuad terbaiknya.