Malaysia Berita

Tan Cheng Hoe dedah sebab mengapa tidak panggil Sumareh

Tan Cheng Hoe tampil mendedahkan sebabnya tersendiri mengapa beliau membuat keputusan untuk tidak menyenaraikan Mohamadou Sumareh yang layak untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan selepas memperoleh kerakyatan awal tahun ini.

Walaupun jawapan beliau boleh dianggap kurang meyakinkan, beliau sebenarnya mahu membentuk sebuah pasukan yang dibarisi oleh pemain yang sesuai dengan taktiknya berbanding sekadar menyenaraikan pemain berprestasi terbaik dalam skuadnya.

Disebabkan itu, Cheng Hoe tidak menyenaraikan walau seorang pun pemain berdarah kacukan untuk dua aksi persahabatan antarabangsa berkelas ‘A’ bertemu Taiwan di Taipei City pada 7 September dan Kemboja di Phnom Penh pada 10 September.

Jadi, pemain berdarah kacukan seperti Matthew Davies, Brendan Gan, Khair Jones, Natxo Insa, La’Vere Corbin-Ong, Kiko Insa, Junior Eldstal dan Darren Lok yang pernah membuat kemunculan bersama skuad kebangsaan semuanya tidak terpilih kali ini.

Malah, Curran Ferns yang kini bermain di Thailand bersama Shukothai FC tidak dipanggil langsung untuk diuji dalam perlawanan persahabatan.

Jelas Cheng Hoe, beliau mengambil kira beberapa faktor yang lebih penting daripada sekadar memilih seorang pemain naturalisasi sebaliknya, beliau mahu setiap pemain yang dipanggil mampu menyesuaikan diri dengan corak permainan yang ingin diterapkannya.

“Tidak semestinya pemain itu memiliki fizikal besar dan tinggi akan terpilih kerana kadang-kala ia tidak sesuai dengan cara kita bermain.

“Saya lebih gemar memilih pemain yang mempunyai taktikal dan kemahiran baik seperti pemain skuad bawah 23 tahun negara (B-23), tapi kalau pemain itu mempunyai kedua-duanya itu satu bonus buat pasukan.

“Namun ingin saya tekankan, pemilihan pemain adalah berdasarkan prestasi semasa mereka bersama kelab dan negeri. Jika mereka mempamerkan aksi terbaik, saya akan senaraikan mereka dalam aksi persahabatan Oktober nanti,” katanya kepada Berita Harian.

Cheng Hoe cukup dikenali sebagai seorang jurulatih yang gemar mengamalkan corak permainan hantaran pendek dan beliau juga mengakui gaya permainan itu akan dipraktikkan seperti mana ketika beliau membimbing Kedah sebelum ini.

“Ya, itu cara kita akan bermain. Saya percaya dengan kelompok pemain yang dipanggil, mereka mampu mengadaptasi kaedah permainan yang dimahukan,” katanya.