Malaysia Berita

Patrick Cruz kembali pulih dan sedia robek gawang Selangor

Pemain import Pahang, Patrick Cruz kembali menyertai latihan bersama skuad Tok Gajah  bagi menghadapi baki saingan Piala Malaysia 2018.

Beliau yang diketepikan selama dua bulan ekoran kecederaan pangkal peha teruja untuk turun menentang Selangor pada perlawanan seterusnya.

“Saya sudah pulih sepenuhnya dan sedia untuk merobek gawang Selangor kerana memiliki pengalaman manis apabila bertemu Selangor.”

“Saya menjaringkan dua gol, masing-masing satu ketika bertemu Selangor iaitu kami menang 3-1 dalam Liga Super dan 2-0 pada aksi final Piala FA.”

Bukan sahaja teruja untuk menentang Selangor malah beliau menjelaskan bahawa kemenangan tersebut akan mengesahkan tempat mereka ke suku akhir Piala Malaysia 2018.

“Saya tidak sabar untuk bermain bersama rakan sepasukan kerana kemenangan ke atas Red Giant akan mengesahkan Pahang ke suku akhir. Namun, terpulang kepada jurulatih (Dollah Salleh) untuk membuat pilihan,” katanya.

Walaupun menduduki 2 teratas Kumpulan D setelah mengharungi 4 perlawanan peringkat kumpulan, pengendali Pahang, Dollah Salleh amat bimbang dengan ketumpulan barisan serangannya.

Kehadiran semula Patrick Cruz yang telah cergas dan sedia menggalas tugas selaku penyerang nyata menggembirakan Dollah Salleh.

“Jika sebelum ini saya bimbang dengan ketumpulan serangan. Saya boleh berasa lega dan percaya kembalinya Cruz memperkasakan jentera hadapan.

“Tapi, saya perlu membuat pilihan terbaik kerana hanya empat pemain import yang dibenarkan beraksi dalam saingan Piala Malaysia,” katanya.