Berita Asia

Sukan Asia 2018: Arab Saudi, UAE, Jepun dan Korea Utara lengkapkan senarai 8 terbaik

Perlawanan pertama diantara juara Kumpulan C, China menentang Arab Saudi. 60 minit pertama menyaksikan Arab Saudi menjaringkan 4 gol ke atas China dengan Haroune Moussa Camara berjaya mendapatkan hatrik dalam perlawanan ini. China cuba untuk mengejar dan mereka berjaya mendapatkan 3 gol. Namun, semuanya telah terlambat apabila wisel penamat ditiup dan Arab Saudi mara ke peringkat suku akhir.

Perlawanan kedua juga berlangsung sengit di antara pasukan tuan rumah, Indonesia menentang Emiriah Arab Bersatu, UAE. Zayed Alameri terlebih dahulu memberikan UAE jaringan awal menerusi sepakan penalti sebelum Alberto Goncalves menyamakan kedudukan pada minit ke-52.

Permainan kembali terbuka dan Almeri sekali lagi menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-65. UAE yakin mereka dapat mengekalkan jaringan 2-1 untuk mara ke aksi seterusnya namun Stefano Lilipaly menjaringkan gol penyamaan seterusnya mengheret permainan ke masa tambahan. Tiada jaringan dilakukan pada masa tambahan dan UAE memenangi penentuan sepakan penalti 4-3.

Perlawanan ketiga menyaksikan kempen Malaysia di temasya Sukan Asia 2018 terhenti di pusingan 16 sahaja setelah Ayase Ueda menjaringkan gol sepakan penalti pada minit ke-88. Terdahulu perlawanan berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan saling menyerang gawang lawan. Namun Jepun lebih mendominasi permainan dan memaksa Malaysia bermain secara bertahan. Jepun memperolehi sepakan penalti setelah Dominic Tan dipersalahkan kerana menjatuhkan Daiki Sugioka dalam kotak penalti.

Perlawanan terakhir pusingan 16 diantara Korea Utara menentang Bangladesh berkesudahan dengan Korea Utara menang 3-1 ke atas Bangladesh. Korea Utara membuka jaringan seawal minit ke-13 menerusi Kim Su Yong sebelum Han Yong Thae menggandakan jaringan pada minit ke-38. Mereka mengekalkan momentum dan sekali lagi berjaya menjaringkan gol pada minit ke-69. Bangladesh berjaya menjaringkan gol saguhati menerusi Saad Uddin.