Malaysia Berita

Ong Kim Swee: Malaysia gagal ambil peluang yang terhidang di depan mata

Kegagalan menyempurnakan peluang awal yang terhidang menyumbang kepada penyingkiran skuad Malaysia B-23 di pentas pusingan kedua Sukan Asia 2018 menentang Jepun, malam tadi.

Perkara itu diakui Datuk Ong Kim Swee selepas anak buahnya sekadar tewas 0-1 menerusi penalti pada minit akhir perlawanan.

“Sebelum perlawanan saya sudah ingatkan bahawa pihak lawan adalah sebuah pasukan yang kuat, mereka jelas berbeza ketika tewas kepada Vietnam tempoh hari.

“Kami mampu bertahan sehingga penghujung perlawanan tetapi kami tidak menyempurnakan peluang awal dan hasilnya dihukum di hujung perlawanan,” katanya kepada Berita Harian.

Tambahnya, meskipun rata-rata pemain Jepun berusia 21 tahun namun mereka lebih dominan dan Malaysia berjaya memberikan kesukaran kepada Samurai Biru pada sebahagian besar perlawanan tersebut.

Malaysia yang turun dengan kesebelasan sama ketika menumbangkan Korea Selatan di peringkat kumpulan jelas tidak bernasib baik apabila dua percubaan Safawi Rasid ketika berbaki 10 minit sekadar menggegar palang dan tiang.

Malah banyak peluang berjaya dikekang oleh pihak lawan walaupun mendapat beberapa peluang lain termasuk cubaan kapten Baddrol Bakhtiar pada awal perlawanan.

Kegoyahan benteng pertahanan negara menjadi punca kekalahan akhirnya apabila Jepun mendapat sepakan penalti selepas Dominic Tan menjatuhkan Ayase Ueda pada minit ke-88 dan pemain berkenaan menyempurnakannya dengan mudah menewaskan Haziq Nadzli.

Memasuki masa kecederaan, pasukan negara melakukan asakan demi asakan disebalik cubaan Jepun untuk melengahkan perlawanan, namun apakan daya cubaan saat-saat akhir daripada Rizal Ghazali dan Akhyar Rashid gagal menghasilkan gol penyamaan.