Malaysia Berita

Lupakan Sukan Asia, kejar kelayakan ke Sukan Olimpik 2020!

Malaysia telah ditunjukkan jalan keluar daripada temasya Sukan Asia 2018 oleh Jepun malam tadi. Mereka berjaya menewaskan Malaysia dengan jaringan 1-0 menerusi gol sepakan penalti pada minit ke-88 oleh Ayase Ueda.

Datuk Ong Kim Swee ketika ditemui selepas perlawanan menyatakan tidak mahu meratapi kekalahan ini sebaliknya mahu fokus kepada kelayakan Kejohanan AFC B23 yang akan berlangsung bermula Mac 2019 dimana ia juga merupakan tiket untuk ke Sukan Olimpik 2020.

“Separuh daripada skuad ini masih layak untuk bermain di pusingan kelayakan AFC B-23 tahun depan. Bagi saya ia satu pendedahan dan pengalaman yang bagus buat pemain-pemain ini.”

“Kita perlu buat perancangan, tengok Jepun, mereka sudah ada perancangan dua tahun ke depan untuk bermain di Olimpik dengan mendedahkan pemain bawah 21 tahun mereka di kejohanan ini. Jadi kita juga perlu merancang sesuatu yang lebih baik untuk memburu tiket bermain di Tokyo 2020.”

Kejohanan AFC B23 seterusnya bakal berlangsung pada Januari 2020. Pasukan yang menamatkan kejohanan tersebut ditempat ketiga teratas bakal layak ke temasya Sukan Olimpik. Dan beliau optimis FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) sudah mempunyai rancangan untuk hal tersebut.

“Saya percaya FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) sudah ada perancangan tersebut. Tempoh kira-kira enam atau tujuh bulan yang ada sebelum kelayakan perlu digunakan sebaik mungkin untuk mempersiapkan sebuah skuad yang boleh memberi saingan sengit di kelayakan dan kemudiannya di pusingan akhir,” kata Kim Swee selepas perlawanan.

Seandainya, Jepun juga mara ke saingan separuh akhir pada Kejohanan AFC B23 tersebut, pasukan yang menduduki tempat keempat akan layak mendapat slot ke Sukan Olimpik kerana Jepun telah diberikan slot automatik sebagai tuan rumah.

Selain daripada kelayakan Kejohanan AFC B23, Datuk Ong Kim Swee akan membimbing pasukan Harimau Muda untuk menghadapi saingan Sukan SEA 2019 yang akan berlangsung di Filipina penghujung tahun hadapan. Untuk rekod, Malaysia telah mendapat pingat perak dalam saingan Sukan SEA lalu setelah tewas kepada Thailand 1-0.