Malaysia Berita

Perlu beraksi dengan lebih baik menentang Korea Selatan-Ong Kim Swee

Jurulatih Malaysia B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee agak berpuas hati dengan aksi cemerlang yang ditampilkan pemainnya setelah menewaskan Kyrgyzstan 3-1.

Namun begitu, beliau mengakui terdapat ruang untuk penambahbaikan sebelum berdepan Korea Selatan esok.

“Saya berharap kita akan jadi bertambah baik selepas perlawanan pertama ini.

“Saya tahu kita menerima tekanan daripada pihak lawan pada awal babak kedua perlawanan tetapi apabila kita berjaya mendapatkan gol kedua, ia memberi keyakinan yang lebih kepada pemain,” katanya.

Bagi Safawi Rasid pula, beliau melahirkan rasa gembira dengan kemenangan tersebut tetapi pada masa yang sama menyeru rakan sepasukan untuk memberi fokus menghadapi aksi getir menentang Korea Selatan.

“Alhamdulillah, kita mendapat tiga mata penuh.

“Kita akan cuba baiki kelemahan yang ada pada perlawanan ini untuk menghadapi Korea Selatan nanti,” katanya.

Malaysia memulakan kempen Sukan Asia 2018 dengan bergaya selepas mengatasi Kyrgyzstan 3-1 pada aksi sulung bola sepak kumpulan E di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung, Indonesia, semalam.

Skuad B-23 negara terlebih dahulu memecah kebuntuan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Safawi Rasid pada minit ke-38 setelah Akhyar Rashid dijatuhkan pemain lawan di dalam kotak penalti.

Namun sebaik sahaja separuh masa kedua bermula, Kyrgyzstan menggandakan asakan dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi tandukan Ernist Batyrkanov pada minit-55.

Tetapi Malaysia bangkit mendahului perlawanan menerusi Akhyar yang menampan masuk hantaran silang Safawi pada minit ke-61.

Syafiq Ahmad mengesahkan tiga mata sulung setelah menampan masuk hantaran silang yang sekali lagi dilakukan oleh Safawi pada minit ke-78.

Malaysia akan bertemu juara bertahan, Korea Selatan pada aksi kedua di venue yang sama esok.- Bernama