Malaysia Berita

Beraksi di ACL musim depan, Perak mahu bawa masuk Ronaldinho

Memandangkan Perak akan beraksi di pusingan kelayakan Liga Juara-juara Asia (ACL) tidak lama lagi, Perak mempunyai cita-cita yang tinggi untuk membawa masuk bintang Piala Dunia Brazil, Ronaldinho ke Ipoh pada musim depan.

Ronaldinho sendiri sebelum ini pernah menyatakan hasrat secara serius untuk beraksi di Liga Malaysia secara percuma apabila mengakui tertarik dengan layanan dan keghairahan penyokong di Malaysia.

Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata, pengalaman yang ada pada Ronaldinho amat diperlukan skuad The Bos Gaurus untuk melepasi pusingan kedua kelayakan ACL yang dijangka berlangsung pada Februari depan.

Katanya, mana-mana ejen yang mengenali bekas tonggak Barcelona itu boleh menghubunginya dan membawa pemain itu bertemu PAFA bagi urusan tawaran kontrak.

“Saya bersedia membuka pintu untuk Ronaldinho hadir ke sini. Kalau ada ejen yang boleh menghubungi pemain itu saya boleh menawarkan tempat dalam pasukan.

“Kalau dia bersedia untuk berkhidmat secara percuma, apa salahnya kita membuka ruang kepada dia berbakti di negeri Perak. Kalau ada ejen saya amat alu-alukan,” katanya kepada Berita Harian.

Ronaldinho, 38, pada Januari lalu sudah mengumumkan persaraannya dan kini hanya memberi fokus kepada akademi miliknya dan kariernya sebagai pemuzik.

Tambah Hasnul, beliau percaya faktor usia bukan penghalang buat Ronaldinho untuk kembali menemui sentuhan ajaibnya yang pernah menjulang Piala Dunia pada 2002 bersama Ronaldo, Rivaldo dan Roberto Carlos.

“Faktor umur bukan masalah, lebih-lebih lagi apabila bermain di Asia ini. Dia masih lagi mampu bermain di liga tahap Asia, malah kehadiran dia juga boleh membantu menarik penaja untuk melabur bersama pasukan,” katanya.

Skuad The Bos Gaurus dijangka mengisi satu slot mewakili Malaysia di pentas Liga Juara-Juara AFC selepas berjaya menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua di belakang Johor Darul Ta’zim yang diberikan tempat secara automatik untuk bersaing di peringkat kumpulan ACL.