Beberapa kempen keamanan telah dilancarkan dengan harapan tiada lagi insiden kekecohan penyokong pada perlawanan antara Indonesia dan Malaysia pada separuh akhir Kejohanan Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) Bawah 16 (B-16) Tahun di Stadium Delta Sidoarjo, hari ini.
Malah, satu sesi serumpun Indonesia-Malaysia diadakan di Surabaya bagi memastikan hubungan baik kekal terjalin antara kedua-dua negara.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan memberitahu bahawa sesi itu turut disertai jurulatih negara, Raja Azlan Shah Raja So’ib dan jurulatih Indonesia, Fakhri Hussaini serta pemain kedua-dua pasukan.
“Ia bertujuan ke arah penyatuan dan mengeratkan hubungan kedua-dua negara bagi memastikan pertembungan esok dapat berjalan dengan penuh keamanan dan kelancaran tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku,” katanya.
Bulan lepas, penyokong Indonesia didakwa melakukan kekecohan selepas pasukan mereka tewas 3-2 kepada Malaysia menerusi penentuan sepakan penalti pada separuh akhir Kejohanan AFF B-19.
Penyokong tuan rumah bertindak membaling objek ke arah pemain Malaysia yang sedang menuju ke bilik persalinan selepas tamat perlawanan.
Situasi buruk sekali lagi tercetus sebelum kejohanan AFF B-16 apabila kesilapan pemain negara, Amirul Ashrafiq Hanifah menggunakan bendera Poland dan bukannya Indonesia dalam Instagram Story miliknya ketika membuat ucapan ringkas sebelum berlepas ke Surabaya.
Walaupun Amirul sudah membuat permohonan maaf, namun kesilapan itu tetap disalah tafsir oleh penyokong Indonesia dengan menganggap penyerang skuad kendalian Raja Azlan itu sengaja mencetuskan provokasi.
Dalam pada itu, jurulatih Indonesia B-16, Fakhri Husaini menasihatkan penyokong tuan rumah agar hadir dengan semangat kesukanan tinggi.
Katanya, pihaknya mengambil inisiatif untuk meredakan ketegangan dengan mengundang skuad Malaysia makan tengah hari bersama beberapa pemain negara itu.
“Kami mengharapkan sokongan dan doa penyokong Indonesia, namun kami juga tidak mahu kejohanan ini dicemari. Sokonglah kami dengan semangat kesukanan agar kami boleh mencatat keputusan terbaik. Ini pertandingan bola sepak peringkat umur bawah 16 tahun, bukan senior.
“Anak-anak ini adalah aset masa depan bola sepak yang harus dijaga. Saya menyeru kepada penonton agar dapat menghargai pasukan kita, pasukan lawan dan penyokong yang lain, sama ada sebelum, ketika dan selepas perlawanan.
“Jangan sampai kreativiti dan perkara positif lain yang telah mereka lakukan sebelum ini tercalar gara-gara tindakan sesetengah pihak yang mampu merugikan semua orang, atau lebih buruk lagi sehingga Indonesia dikenakan tindakan oleh AFC dan FIFA,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada 30 Julai lalu, penyokong Indonesia ‘menyerang’ pasukan negara dengan menggelar Malaysia sebagai ‘anjing’ ketika Malaysia B-16 berdepan Thailand dalam aksi pembukaan Piala AFF B-16.
Perbuatan itu mengundang bantahan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menghantar surat bantahan rasmi kepada AFC dan AFF.
Perlawanan separuh akhir Indonesia dan Malaysia bakal berlangsung pada pukul 8 malam waktu Malaysia.