
Kuala Lumpur tidak bayar gaji Fabio sejak bulan Julai?
Itulah pendedahan yang dilakukan oleh jurulatih Kuala Lumpur yang menjadi mangsa terbaru ‘rehat’ Liga Malaysia baru-baru ini seperti dilaporkan oleh Utusan Malaysia.
Dalam satu laporan akhbar berkenaan, Fabio berkata: “Saya tidak menerima gaji sejak Julai dan kontrak saya tamat pada November ini, itu bermakna saya ada lima bulan tunggakan gaji. Saya tidak tahu sama ada KLFA mahu melunaskannya sekali gus atau sebaliknya jadi saya perlu menunggu jawapan daripada mereka.”
Nampak tidaklah terlalu serius jika dibandingkan dengan kes-kes lain di mana pemain atau jurulatih tidak dibayar gaji sehingga berbulan-bulan lamanya, namun Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) tetap perlu menyelesaikan masalah ini dengan cara yang baik.
Apa yang pasti, tindakan Kuala Lumpur merehatkan Fabio ketika Piala Malaysia baru sahaja berlangsung mungkin boleh mengganggu mereka dalam kejohanan tersebut. Kuala Lumpur perlu mencari pengganti Fabio secepat mungkin sebelum Liga Super 2019 bermula.
Persoalannya sekarang, apa perancangan KLFA untuk musim akan datang? Adakah mereka sekali lagi akan lega dengan sekadar kekal di Liga Super? Atau mahu cuba mencapai langit dan memberi cabaran dalam Liga Super? Semua ini akan terjawab dengan pemilihan ketua jurulatih mereka yang seterusnya.
Fabio mungkin tidak berjaya mencapai sasaran lima pasukan teratas seperti disasarkan pada awal musim, namun beraksi di Liga Super selepas begitu lama di liga bawahan, itu mungkin suatu perkara yang tidaklah teruk.
Di bawah Fabio, Kuala Lumpur menjadi antara pasukan paling menghiburkan dalam saingan Liga Super. Mereka menjaringkan begitu banyak gol, tetapi malangnya juga bolos begitu banyak.
Setakat ini Fabio merupakan jurulatih terbaik Kuala Lumpur setelah sekian lama. Berjaya membawa kejayaan menjulang trofi Liga Premier selepas sekian lama kabinet trofi Kuala Lumpur kosong. Tunjukkan diri anda ‘gentleman’ dan berlaku jujurlah terhadap Fabio. Tiada istilah rehat. Jika mahu pecat, pecat sahaja tetapi bayarlah juga tunggakan gajinya.