Berita Asia Tenggara

Undian semula Sukan Asia dalam masa terdekat

Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor John Paul mengesahkan bahawa undian semula acara bola sepak Sukan Asia 2018 akan dilakukan dalam masa yang terdekat.

Katanya, sehingga kini Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Penganjuran Sukan Asia Indonesia (INASGOC) belum memaklumkan kepada pihaknya sama ada undian itu akan membabitkan semua pasukan atau hanya dua tercicir pada undian awal iaitu Emiriah Arab Bersatu dan Palestin.

“Setahu saya tidak ada undian semalam. Kita belum terima surat rasmi daripada dari OCA dan Indonesia. Mungkin undian semula itu pada awal minggu depan.

“Apa yang dimaklumkan kepada kita, undian semula itu pasti akan dibuat tapi sama ada hanya membabitkan dua pasukan saja atau semua pasukan itu yang kita masih menunggu keputusannya,” katanya kepada Berita Harian.

Keputusan untuk mengadakan undian semula itu mengejutkan ramai pihak termasuk jurulatih skuad bawah 23 tahun negara (B-23) Datuk Ong Kim Swee yang boleh menjejaskan persiapan pasukan sebelum bermulanya temasya pada 14 Ogos ini.

Undian bola sepak Sukan Asia asalnya dilakukan di Jakarta pada 5 Julai lalu, membabitkan 24 pasukan dalam enam kumpulan dengan menyaksikan Malaysia bakal bertemu juara bertahan, Korea Selatan, Kyrgyzstan dan Bahrain bagi Kumpulan E.

Bagaimanapun difahamkan, undian semula itu dilakukan berikutan bantahan daripada UAE yang tidak berpuas hati apabila pasukan mereka tercicir dalam undian awal itu bersama dengan Palestin akibat masalah teknikal.

Malah India yang sebelum ini tidak mahu menghantar skuad bola sepak mereka kini dilaporkan mahu mengambil bahagian pula.

Jelas Windsor, AFC tidak boleh melakukan sebarang campur tangan dalam isu ini kerana semua keputusan tertakluk kepada OCA dan INASGOC.

“Kita cuma bantu sahaja. Keputusan dibuat oleh OCA dan Indonesia. Jadi kita tak tahu sebab sebenar undian semula ini dilakukan,” katanya.