Malaysia Berita

Berdarah orang Malaysia, Lee Tuck mahu bantu pasukan kebangsaan

Pemain tengah Terengganu, Lee Andrew Tuck, bersedia untuk mempertimbangkan sebarang tawaran menyarung jersi pasukan kebangsaan satu hari nanti memandangkan beliau mempunyai pertalian darah orang Malaysia.

Dilahirkan di England, Tuck sudah dua tahun beraksi dalam Liga Malaysia, bermula dengan Negeri Sembilan sebelum berhijrah ke Terengganu musim ini.

Walaupun menyertai Liga Super sebagai pemain import, Tuck menjelaskan bahawa moyang di sebelah ibunya sebenarnya berasal dari Malaysia.

Ditanya mengenai peluang bermain bersama skuad kebangsaan, beliau hanya menyerahkan sebarang keputusan kepada pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Saya berharap pada masa akan datang saya dapat beraksi bersama Malaysia,” katanya kepada Stadium Astro.

Pada masa yang sama, Tuck yang sudah berusia 30 tahun itu menolak pandangan bahawa prestasinya semakin merudum sejak bermula pusingan kedua Liga Super.

Baginya, meskipun gagal menjaringkan gol dalam lima perlawanan terakhir, itu tidak bermakna beliau tidak boleh memberikan sebarang sumbangan kepada pasukannya.

“Walaupun tidak menjaringkan gol seperti pusingan pertama Liga Super, saya banyak terlibat dan membantu pasukan meraih kemenangan dan setakat ini saya berpuas hati dengan persembahan saya,” katanya.

Menjelang Piala AFF 2018, FAM masih berpeluang untuk menguatkan pasukan kebangsaan dengan kehadiran Tuck dan juga pemain Pahang, Mohamadou Sumareh yang baharu sahaja memperoleh kerakyatan selepas menetap di Malaysia sejak berusia 12 tahun.

Malaysia kini mempunyai beberapa barisan pemain kacukan seperti Matthew Davies, La’Vere Corbin Ong, Kiko Insa, Natxo Insa dan Darren Lok.