Liga Super Malaysia Berita

Penyokong JDT rai sambutan kejuaraan Liga Super kali kelima berturut-turut

Lebih 5,000 penyokong setia pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) membanjiri Dataran Bandaraya, Johor Bahru malam tadi bagi meraikan kejayaan pasukan Harimau Selatan merangkul kejuaraan Liga Super buat kali kelima berturut-turut.

Ketibaaan pemilik kelab JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersama-sama para pemain, pegawai dan jurulatih skuad Harimau Selatan dengan menaiki bas khas tidak berbumbung kira-kira pukul 12.20 tengah malam disambut dengan sorakan kegembiraan penyokong JDT.

Yang turut hadir ke majlis sambutan kejuaraan Liga Super itu ialah Presiden Kelab JDT, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim.

Sambutan kejuaraan di Dataran Bandaraya diadakan selepas majlis penyerahan trofi Liga Super musim 2018 yang disempurnakan oleh Tunku Tun Aminah kepada kapten JDT bagi musim 2018, Hariss Harun sejurus selepas tamat perlawanan antara JDT dan pasukan tercorot liga, Kelantan yang berkesudahan dengan kemenangan besar 4-0 memihak kepada tuan rumah.

Penonton turut berkesempatan menyaksikan perlawanan JDT menentang Kelantan yang ditayangkan di skrin gergasi dan acara kemuncak sambutan diserikan dengan pertunjukan bunga api.

Pada 10 Julai lalu, skuad kendalian Raul Longhi itu mengesahkan kejuaraan selepas menewaskan Perak 2-1 di Stadium Ipoh ketika saingan liga masih berbaki empat perlawanan.

Kejayaan memenangi kejuaraan Liga Super musim ini lebih bermakna apabila buat pertama kalinya pasukan dari Liga Malaysia, JDT layak ke Liga Juara Juara Asia musim depan, iaitu kejohanan bola sepak peringkat kelab yang paling berprestij di rantau Asia.