Liga Super Malaysia

Kelantan diambang penyingkiran, ini pesanan DSV kepada Bibi Ramjani

Jutawan kosmetik Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman atau Vida menasihatkan supaya Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Bibi Ramjani Ilias Khan berundur sahaja daripada menguruskan pasukan bola sepak Pantai Timur itu.

Katanya, Bibi Ramjani sepatutnya berfikir panjang sebelum membuat keputusan untuk terjun ke bidang tersebut yang didakwanya memerlukan ketahanan mental yang tinggi.

“Menguruskan bola sepak bukan satu tugas yang mudah kerana ia memerlukan komitmen dan ilmu berkaitan dengan sukan berkenaan.

“Saya sudah rasa kesannya ketika menjadi penaja utama Kelantan sebelum ini apabila prestasi The Red Warriors (TRW) merudum ketika itu sehingga memberikan kesan kepada jualan produk Vida Beauty,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian selepas Bibi Ramjani berhasrat untuk meneliti kembali kontrak penajaan Vida Beauty terhadap Kelantan yang masih berbaki RM8 juta bagi musim 2017.

Tahun 2016 menyaksikan kejutan terbesar buat landskap bola sepak Kelantan apabila Vida menaja Kelantan dengan nilai RM8 juta untuk satu musim.

Bagaimanapun, Vida membuat keputusan untuk tidak menyambung penajaannya pada tahun berikutnya disebabkan prestasi hambar pasukan.

Difahamkan, Kafa ketika ini sedang berdepan masalah kewangan yang kronik untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji dan perbelanjaan pengurusan pasukan.

Tambah Vida, perjanjian tajaan antara pihaknya dengan TRW yang ditangguhkan sebelum ini tidak perlu dibangkitkan lagi.

Katanya, isu tersebut sudah pun diselesaikan sepenuhnya menerusi barisan kepimpinan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) terdahulu iaitu Tan Sri Annuar Musa.

Malah katanya, perjanjian tersebut dibuat menerusi syarikat The Red Warriors Shd. Bhd (TRW Sdn. Bhd) dan bukannya dengan Kafa.

“Kafa dan TRW Sdn. Bhd adalah entiti yang berbeza. Sebab itu saya hairan kenapa isu ini dibangkitkan semula.

“Sedangkan semuanya telah dibuat secara jelas menerusi meja rundingan antara Vida Beauty dengan pimpinan Kafa terdahulu,” katanya.