Eropah Berita

Kadar cukai VAT punca Cristiano Ronaldo ke Juventus?

Sedang rakyat Malaysia sibuk memperkatakan mengenai isu pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan membandingkannya dengan cukai barang dan perkhidmatan (GST), nampaknya isu percukaian turut memberi kesan kepada pemain bola sepak di luar negara.

Ini terutamanya apabila kadar cukai nilai tambah (VAT) yang tinggi dikenakan oleh Sepanyol nampaknya menjadi faktor yang menyumbang kepada keputusan Cristiano Ronaldo untuk menyertai Juventus.

Penyerang Portugal itu sebelum ini mengeluarkan kenyataan melalui laman sesawang Madrid bagi menjelaskan alasannya meminta untuk berpindah ke Juventus sebaik sahaja perjanjian itu diumumkan dengan menyebut mengenai keperluannya terhadap cabaran baharu di peringkat kariernya.

Namun Presiden La Liga, Javier Tebas berkata, beliau percaya tindakan Ronaldo itu didorong oleh wang kerana pemain itu akan meraih pendapatan yang lebih besar di Itali.

“Ronaldo akan meraih lebih banyak wang di Itali daripada di sini.

“Saya fikir cukai mendorongnya untuk ke Itali. Di sini, di Sepanyol, kita mempunyai masalah dengan cukai yang tinggi.

“Berbanding liga besar yang lain, pemain di Sepanyol berdepan cukai yang paling tinggi.

“Bukannya beerti di tempat lain kadarnya jauh lebih rendah tetapi apabila anda memperoleh jumlah yang besar, maka perbezaan kecil dalam kadar ini dianggap besar terhadap para pemain,” katanya kepada TV Marca.

Ronaldo menamatkan karier selama sembilan tahun di Real Madrid apabila bersetuju untuk berpindah ke juara Serie A dengan nilai $112 juta dolar.

Pemenang lima kali Ballon d’Or serta penjaring gol terbanyak Madrid itu menandatangani kontrak selama empat tahun dengan Juventus.