Berita Asia

OKS pening, undian Sukan Asia dibuat semula hari ini

Ia satu keputusan yang mengejutkan oleh Jawatankuasa Penganjuran Sukan Asia Indonesia (INASGOC) untuk melakukan undian semula selepas undian acara bola sepak membabitkan 24 pasukan telah pun selesai diadakan pada 5 Julai lalu.

Undian itu menyaksikan pasukan negara B-23 dibawah kendalian Datuk Ong Kim Swee akan bertemu dengan juara bertahan Korea Selatan, Kyrgyzstan dan Bahrain dalam Kumpulan E.

Tiada sebarang kenyataan rasmi sebenarnya yang dikeluarkan oleh INASGOC mengenai keputusan undian semula itu namun pihak media telah mendapat jemputan untuk menghadiri majlis undian berkenaan di AFC House, Bukit Jalil petang hari ini.

Difahamkan, undian semula itu dilakukan susulan bantahan daripada Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang tidak berpuas hati apabila pasukan mereka tercicir dalam undian awal bersama dengan Palestin akibat masalah teknikal.

Malah, India yang sebelum ini enggan menghantar skuad bola sepak mereka untuk bertanding kini dilaporkan mahu mengambil bahagian pula.

Kim Swee yang ditanya mengenai perkembangan terbaru itu juga terkejut kerana mereka langsung tidak dimaklumkan mengenai undian semula.

“Saya tidak tahu bagaimana untuk menjawab soalan ini kerana saya juga tidak mendapat sebarang maklumat mengenai undian semula ini daripada pihak penganjur, AFC atau MOM.

“Jika benar ada undian semula, mereka harus melakukan dengan cepat. Saya percaya bahawa negara-negara lain termasuk Malaysia sendiri mahu undian semula ini dibuat secepat mungkin.

“Ini disebabkan kebanyakan negara sudah merancang persiapan mereka untuk ke Sukan Asia 2018,” katanya kepada Berita Harian.

Apa yang membimbangkan, undian semula itu bakal menjejaskan persiapan skuad B-23 negara yang sudah merancang untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan China B-23 pada 5 Ogos dan Arab Saudi pada 9 Ogos.

“Kita sudah bersetuju untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan China tetapi bagaimana kalau undian semula nanti kita akan bertemu China di peringkat kumpulan? Ini pasti akan mengganggu persiapan bukan sahaja pasukan kita malah pasukan lain juga.

“Jadi saya berharap isu ini dapat diselesaikan segera sebelum pelbagai lagi masalah timbul,” katanya.