Liga Super Malaysia Berita

Felda United tawar tiket serendah RM5

Felda United FC menawarkan diskaun sebanyak 50 peratus harga tiket kepada penonton sempena meraikan kejuaraan Liga Perdana pada perlawanan menentang PDRM di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Maran, esok.

Pengurus Felda, Mohd Nasir Embong berkata selepas diskaun, harga baharu tiket untuk tempat duduk terbuka adalah RM5 dan berbumbung pula adalah RM10.

Katanya, keputusan menurunkan harga tiket itu adalah sebagai tanda penghargaan kepada peminat kelab itu khususnya warga Felda yang telah memberikan sokongan sepanjang musim.

“Kita percaya dengan tawaran harga tiket RM5 dan RM10 ini, lebih ramai peminat Felda United akan memenuhi stadium yang boleh memuatkan kira-kira 20,000 orang dalam satu-satu masa.

“Kehadiran mereka amat dinantikan untuk bersama meraikan kejayaan FELDA United muncul juara Liga Perdana musim ini, sekali gus layak ke Liga Super musim depan.

“Majlis meraikan kejayaan itu akan diadakan selepas berakhir perlawanan dengan PDRM dan peminat The Fighters boleh meraikannya bersama jurulatih dan pemain,” katanya kepada Berita Harian.

Sambutan meraikan kejayaan Felda United itu dijangka turut disertai Pengarah Besar Felda, Datuk Ab. Ghani Mohd Ali.

Selasa lalu, Felda United dinobatkan sebagai juara Liga Perdana selepas menewaskan Sarawak 3-1 walaupun saingan liga masih berbaki dua perlawanan.

Felda yang diturunkan ke Liga Perdana kerana gagal mendapatkan lesen kelab FAM berikutan tidak melengkapkan dokumen membabitkan penyata kewangan pasukan itu hanya memerlukan semusim untuk kembali ke Liga Super.