Luar Negara Piala Dunia 2018

Kemenangan Perancis khas untuk Wild Boars FC, kata Paul Pogba

Paul Pogba menghadiahkan kemenangan Perancis 1-0 ke atas Belgium awal pagi tadi kepada Wild Boars FC yang terdiri daripada 12 kanak-kanak yang terselamat dalam insiden terperangkap dalam gua di Thailand.

Lima mangsa terakhir berjaya diselamatkan semalam daripada gua yang dipenuhi air selepas mengharungi 18 hari yang menyeksakan serta mengakhiri misi menyelamat yang menarik perhatian dunia.

Kumpulan penyelam elit dan pasukan tentera laut khas Thailand mengeluarkan empat kanak-kanak terakhir termasuk jurulatih mereka menerusi laluan sempit yang dipenuhi air dan diselubungi dengan kegelapan.

Susulan kemenangan 1-0 di Saint Petersburg, pemain tengah Manchester United terus memuatnaik statusnya menerusi akaun Twitter miliknya.

“Kemenangan kepada hero hari ini, syabas semua, kamu semua sangat kuat,” katanya.

Presiden FIFA, Gianni Infantino pada minggu lalu menjemput Wild Boars menyaksikan final Piala Dunia pada Ahad ini sebagai hadiah kepada mereka.

Namun FIFA dimaklumkan atas sebab-sebab kesihatan, mereka belum bersedia untuk terbang ke Moscow.

“Keutamaan FIFA adalah kesihatan kepada semua yang terbabit dalam operasi dan kami akan mencari peluang lain untuk menjemput mereka menyertai acara FIFA bagi berkongsi dan meraikannya,” kata jurucakap FIFA.

Para pemain bola sepak yang terdiri daripada kanak-kanak berusia 11 hingga 16 tahun terperangkap selepas meninjau gua berkenaan bersama jurulatih selepas tamat latihan pada 23 Jun lalu.

FIFA turut mengucapkan takziah kepada keluarga anggota tentera laut khas Thailand yang terkorban susulan kehabisan oksigen ketika sedang berjuang dalam operasi menyelamat pada Jumaat yang lalu.

“Kami turut bersimpati dan takziah kepada keluarganya,” katanya.- AFP