Malaysia Berita

Stadium Hang Jebat tuan rumah aksi Malaysia lawan Kyrgyzstan

Melaka bakal menjadi gelanggang perlawanan persahabatan antarabangsa Malaysia dan Kyrgyzstan di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, pada 16 Oktober depan.

Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, pasukan kebangsaan dijangka tiba di Melaka pada 14 Oktober dan akan menjalani latihan pada 15 Oktober, sehari sebelum menentang Kyrgyzstan.

Katanya, kehadiran pasukan Kyrgyzstan juga memberi peluang kepada peminat bola sepak di selatan tanah air untuk menyaksikan perlawanan antarabangsa dengan lebih dekat.

“Melaka pernah menjadi tuan rumah perlawanan antarabangsa pada Mac 2016 membabitkan skuad kebangsaan berdepan Macau yang mendapat sambutan hangat peminat.

“Kali ini, kita jangkakan sambutan akan bertambah baik, terutamanya penyokong dari Negeri Sembilan, Johor dan Singapura setelah Malaysia berjaya menewaskan Fiji 1-0 pada aksi di Kuala Lumpur minggu lalu,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Melaka, Noor Azman Rahman berkata, mesyuarat EXCO persatuan minggu lalu bersetuju menerima cadangan FAM untuk perlawanan berkenaan diadakan di Melaka.

Beliau berkata, mengadakan perlawanan di luar kawasan Lembah Klang itu membuka ruang buat penyokong Malaysia untuk menyaksikan perlawanan antarabangsa luar Lembah Klang bagi mereka yang terlepas aksi berdepan Fiji di Cheras minggu lalu.

Selain Kyrgyzstan, skuad Harimau Malaya dijadualkan akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang Taiwan pada 7 September, Kemboja (11 September ), Sri Lanka (12 Oktober ) dan Maldives (3 November).