Luar Negara Piala Dunia 2018

Selangor kalah kepada Pahang kerana kurang berpengalaman, kata Nazliazmi Nasir

Jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir menganggap pengalaman menjadi pemisah antara pasukannya dan Pahang pada perlawanan akhir Piala FA yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Katanya, Pahang berjaya mengambil kesempatan di atas kegugupan pasukannya yang dibarisi pemain muda dan kurang berpengalaman untuk beraksi di pentas sebesar final.

“Saya bersetuju bahawa barisan pemain agak gugup kerana kekurangan pengalaman. Pengalaman yang memisahkan kita apabila mereka jelas dibarisi pemain yang sudah biasa beraksi di perlawanan akhir.

“Namun saya melihat ini memberi pengalaman yang berguna buat saya khususnya membabitkan keputusan yang perlu dibuat apabila berdepan situasi seperti yang berlaku dalam perlawanan akhir ini.

“Walaubagaimanapun, saya yakin pemain muda ini akan menjadi lebih matang dan lebih baik dengan pengalaman yang berharga sebegini,” katanya kepada Berita Harian.

Dalam perlawanan akhir tersebut, Nazliazmi mengejutkan ramai pihak apabila menurunkan empat pemain muda dalam kesebelasan utama iaitu K. Kannan, Muhd. Amirul Ashraff Ariffin, Syahmi Safari dan juga D. Kugan.

Bagaimanapun, hasrat pasukan itu untuk mara ke pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia musim depan terkubur apabila tewas 2-0 kepada Pahang.

Selangor terpaksa menunggu lebih lama apabila The Red Giants kali terakhir menjuarai Piala FA adalah pada tahun 2009 apabila menewaskan Kelantan 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti.

Manakala bagi jurulatih Pahang, Dollah Salleh, beliau tidak menyangka para pemainnya dapat mempamerkan aksi yang membanggakan meskipun berdepan dengan pelbagai dugaan sepanjang kempen Piala FA.

“Hampir dua bulan kita tidak dapat menggunakan kesebelasan utama. Kebetulan kali ini menjadi.

“Begitu juga dengan Patrick Cruz. Selepas sebulan tidak berlatih, hanya dua hari lalu dia mula menjalani latihan.

“Malah, Pahang sepatutnya boleh beraksi dengan lebih baik daripada apa yang dipamerkan pada perlawanan ini,” katanya.

Pahang mendahului perlawanan menerusi Azam Azih pada minit ke-22 sebelum gol kedua disudahkan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Cruz pada minit ke-62.