Luar Negara Eropah

Koleksi transfer rumours terhangat di Eropah: 8 Julai 2018

Bagi pemain bola sepak, pemilihan pasukan yang tepat menjadi satu persoalan yang sering menghantui mereka setiap kali cuba untuk berhijrah. Situasi sama turut dihadapi oleh setiap kelab di dunia termasuk Eropah kerana jika tersilap, pelaburan mereka hanya menjadi sia-sia.

Situasi itu membuatkan setiap pemain akan cuba mendapatkan kelab yang sesuai dengan cara permainan mereka dan begitu juga dengan barisan kelab di Eropah. Kali ini, terdapat satu gosip yang mengejutkan daripada bintang terkemuka di dunia. Berikut adalah koleksi transfer rumours terhangat di Eropah pada hari ini:

Paulo Dybala

Spekulasi perpindahan Cristiano Ronaldo telah membuatkan kedudukan Dybala dalam skuad Juventus menjadi persoalan. Menurut Tutto Mercato, The Reds telah menunjukkan minat terhadap pemain skuad Piala Dunia Argentina itu dan bertanya tentang statusnya bersama The Old Lady. Juventus semestinya mahu mengekalkan khidmat Dybala tetapi tidak mampu melakukan apa-apa jika pemain berusia 24 tahun itu berkeras mahu keluar sebaik sahaja Ronaldo tiba di Itali.

Wilfried Zaha

Pemain sayap Ivory Coast ini dilaporkan telah menolak tawaran kontrak baru bernilai GBP120 ribu seminggu daripada Crystal Palace. Situasi itu terus menjadi perhatian kerana Tottenham Hotspur dan Borussia Dormund dikatakan berminat dengan khidmatnya. Prestasi cemerlang yang dipamerkan pada musim lalu membuatkan keyakinannya bertambah untuk menyertai kelab yang lebih besar.

Andriy Yarmolenko

Penyerang Borussia Dortmund ini menjadi sasaran West Ham United selepas sasaran sebelum ini dari Lazio, Felipe Anderson, telah cuba dipancing oleh Chelsea. The Hammers dilaporkan telah melakukan tawaran berjumlah GBP17.5 juta buat Dortmund, namun belum ada sebarang persetujuan dicapai.

Yann M’Vila

Selepas Sunderland tersingkir ke Liga Kejuaraan ekoran penampilan buruk pada musim 2015/16, M’Vila telah menarik perhatian beberapa pasukan Liga Perdana Inggeris. Kini, pemain tengah dari Perancis itu menjadi sasaran Fulham dan Crystal Palace bagi menghadapi kempen 2018/19. Pemain berusia 28 tahun itu melakukan 37 penampilan dalam liga ketika musim 2015/16, sebelum berpindah ke Saint Etienne sehingga sekarang.

Hirving Lozano

Penampilan cemerlang Lozano termasuk sewaktu menjaringkan gol kemenangan buat Mexico ketika menewaskan Jerman di pentas Piala Dunia ternyata menaikkan nilai harganya. Barcelona menjadi antara pasukan terawal mahu menggunakan khidmat pemain sayap ini, namun Manchester United telah menyertai perlumbaan untuk mendapatkan bintang PSV Eindhoven itu. The Red Devils telah menyediakan dana berjumlah EUR40 juta bagi mendapatkannya.