Jelas terpancar kegembiraan di Rusia, Sheffield, London dan semua tempat di seluruh dunia apabila England menewaskan Sweden 2-0 sekali gus layak ke separuh akhir Piala Dunia buat pertama kali sejak Piala Dunia 1990.
Dikatakan sebanyak 30 juta orang yang menonton perlawanan tersebut dari seluruh dunia dan kemenangan itu bukan sahaja menggemberikan penyokong, malah jurulatih England, Gareth Southgate sendiri menari dan menyanyi dengan peminat yang berada di Rusia.
Dele Alli, pemain Spurs yang menjaringkan gol kedua England, memuji kekemasan penjaga gol Jordan Pickford menjaga gawangnya.
“Selain Pickford, kami juga terhutang budi kepada para peminat, kami dapat melihat sokongan padu mereka,” katanya.
Harry Kane pula menganggap England adalah pasukan yang hebat.
“Sweden sememangnya menjadikan perlawanan ini sukar.
“Hantaran bola jauh dari belakang, banyak betul hantaran mereka. Tapi kami tetap teruja! Teruja dengan kemenangan ini!
Harry Maguire membuat kesimpulan mudah mengenai pasukannya.
“Tiada yang lebih baik daripada ini, terutamanya menang dalam suku akhir Piala Dunia,” katanya.
Ini bukan sekadar kemenangan, ini seolah-olah satu penyucian kepada pasukan England.
Kekalahan memalukan kepada Iceland dalam Euro 2016 dua tahun lalu dilupakan begitu sahaja dan kini satu pasukan yang muda dan tidak berpengalaman mendapat sokongan tidak berbelah bahagi terutamanya daripada negara yang memerlukan wira dan dahagakan kejayaan.
Situasi ini cukup berbeza 10 bulan yang lalu apabila sejumlah besar peminat England berpaling daripada memberikan sebarang sokongan ketika kempen kelayakan Piala Dunia di Malta.
Southgate yang terkenal dengan pakaian jaketnya yang menyebabkan jualan pakaian tersebut melonjak sehingga 35 peratus, pernah membincangkan mengenai keperluan untuk memenangi semula hati peminat.
“Saya pernah sebutkan sebelum ini mengenai hubungan yang rapuh antara penyokong dan para pemain dalam pasukan,” kata Southgate.
“Ada banyak cara untuk membina hubungan yang kukuh dan apa yang paling penting adalah cara kami bermain,” katanya.
Di England, suasana dirasakan sungguh berbeza, suasana yang mana penyokong England dambakan dan tidak sangkakan selama ini akan berlaku dengan begitu pantas.
Hanya tiga perkataan sahaja yang penting ketika ini: It’s coming home.