Luar Negara Eropah

Koleksi transfer rumours terhangat di Eropah: 29 Jun 2018

Kehangatan saingan di Russia untuk Piala Dunia 2018 tetap tidak memadamkan beberapa gosip perpindahan, tidak kira sama ada ia melibatkan pemain yang beraksi di pentas itu atau tidak.

Situasi itu pastinya membuatkan beberapa pasukan kelab di Eropah mula mengintai peluang untuk memanggil beberapa pemain menyertai mereka. Ada yang masih diperlukan majikan lama dan ada juga yang hanya menunggu masa untuk dilepaskan. Berikut adalah lima transfer rumour terhangat di Eropah yang mungkin akan diselesaikan ketika musim panas nanti:

Toni Kroos

Selepas dikaitkan dengan cubaan untuk mendapatkan Leonardo Bonucci, kini Manchester United dikatakan bakal melakukan bidaan untuk membawa pemain tengah Jerman ini ke Old Trafford. Walaupun telah memperoleh Fred dari Shaktar Donetsk untuk memperkuatkan jentera tengah bagi musim akan datang, ternyata Jose Mourinho masih belum berpuas hati dengan kelibat pemain tengah yang telah dimiliki seperti Marouane Fellaini, Nemanja Matic, Ander Herrera, Scott McTominay serta Paul Pogba.

Kieran Tierney

Everton muncul pasukan terbaru yang berhajat untuk mendapatkan bintang muda Celtic ini. Kehadiran Tierney ke Everton dirasakan mampu menjadi pengganti jangka masa panjang buat Leighton Baines yang sudah berusia 33 tahun. Tierney sebelum ini menarik perhatian Manchester United tetapi dalam masa sama, Tottenham Hotspur juga bercadang menjadikannya pengganti kepada Danny Rose.

Lee Grant

Satu lagi perpindahan melibatkan Manchester United. Pengendali Stoke City, Gary Rowett, kini berdepan krisis penjaga gol selepas pemain berusia 35 tahun ini mahu berpindah menyertai The Red Devils. Grant muncul nama yang menjadi sasaran mengejutkan daripada Jose Mourinho kerana mahu menjadikannya sebagai pengganti yang berpengalaman buat David De Gea dan Sergio Romero. Selain Grant, Rowett turut berdepan risiko kehilangan penjaga gol nombor dua England, Jack Butland.

Nacho Monreal

Unai Emery berdepan tugas yang berat untuk membina semula skuad The Gunners dan salah satunya adalah mengenai masa depan bek dari Sepanyol ini. Menurut Football.London, Real Sociedad telah bercadang untuk mendapatkan khidmatnya tatkala kontrak Monreal akan tamat pada musim panas tahun depan. Jika dia berpindah, Emery pasti mengalami masalah kerana Sead Kolosinac sering dilanda kecederaan pada musim lalu.

Kalidou Koulibaly

Barcelona sebelum ini dikaitkan dengan hasrat untuk menjual Yerry Mina kerana memiliki terlalu ramai jumlah pemain luar Eropah. Situasi itu mungkin menyebabkan Barca terpaksa mencari alternatif lain untuk posisi bek tengah dan mereka menjadikan benteng Napoli ini sebagai sasaran. Selain pasukan bimbingan Ernesto Valverde, Chelsea turut muncul sebagai pasukan yang mensasarkan khidmat Koulibaly.