Piala Dunia 2018 Berita

Barisan pengurus Piala Dunia 2018 yang mungkin akan dipecat atau berundur selepas kejohanan

Pengendali Mesir, Hector Cuper, baru sahaja mengumumkan pengunduran dirinya daripada jawatan itu selepas gagal mengutip sebarang mata di Russia. Cuper sudah pasti tidak akan keseorangan tatkala sudah pasti akan ada pengurus lain yang bakal kehilangan jawatan itu. Terdapat beberapa pengurus yang dijangka akan mengikut jejak langkah Cuper.

Siapakah mereka? Lihat di bawah:

Oscar Tabarez

Selepas mengemudi Uruguay selama 12 tahun, hampir 99% Tabarez akan meletakkan jawatannya selepas tamat Piala Dunia 2018. Pengendali itu kini sudah berusia 71 tahun dan menghadapi beberapa penyakit. Melihat jasanya buat Uruguay, sudah pasti dia mampu bersara dengan tenang.

Fernando Hierro

Memegang peranan sebagai pengendali sementara, hanya dua kemungkinan buat Hierro selepas Piala Dunia. Pertama, dia akan diberikan jawatan pengurus tetap berdasarkan prestasi Sepanyol dan kedua, dia akan digantikan oleh pengurus lain. Melihat persembahan Sepanyol setakat ini, kemungkinan untuk melihat dia digantikan lebih cerah.

Shin Tae-yong

Pengendali Korea Selatan yang dilantik pada 2017 ini sememangnya hanya menandatangani kontrak selama dua tahun. Walaupun berjaya menumpaskan Jerman malam semalam, kemungkinan besar kontraknya tidak akan diperbaharui.

Jose Pekerman

Selepas membawa cabaran Colombia dengan cemerlang pada empat tahun lalu, Pekerman berdepan cabaran besar pada kali ini. Los Cafeteros berpeluang besar untuk tidak layak daripada peringkat kumpulan selepas hanya meraih tiga mata daripada dua perlawanan. Jika Colombia tidak berjaya, kontrak Pekerman yang akan tamat selepas Piala Dunia mungkin tidak akan diperbaharui.

Didier Deschamps

Kontrak Deschamps bersama Perancis akan berakhir selepas EURO 2020 nanti. Namun, skuad Perancis tampak berada di takuk sama di bawah kendaliannya walaupun memiliki barisan pemain muda terbaik. Apabila Les Bleus gagal melepasi pusingan kedua berdepan Argentina, kemungkinan besar dia akan dipecat.

Herve Renard

Maghribi terpaksa merelakan diri untuk pulang awal walaupun menampilkan permainan hebat. Renard yang menjadi arkitek permainan Maghribi layak untuk dikekalkan dan kontraknya sendiri hanya akan berakhir pada 2022. Namun, pengendali yang segak ini mungkin akan tertarik dengan tawaran Mesir yang baru ditinggalkan Cuper, atau Algeria dengan nilai kontrak lebih lumayan. Untuk pengetahuan, nilai kontrak Renard bersama Maghribi hanya EUR780 ribu setahun, iaitu hampir separuh daripada jumlah yang diraih Cuper bersama Mesir.

Adam Nawalka

Agak mengejutkan apabila Poland yang hadir ke Piala Dunia daripada balang 1 tersingkir lebih awal dalam saingan di Russia. Nawalka akan menuju pengakhiran kontrak selepas tamat Piala Dunia 2018 dan mungkin tidak akan dapat meneruskan bimbingan terhadap Robert Lewandowski dan rakan-rakan.

Jorge Sampaoli

Sampaoli terikat bersama Argentina sehingga 2022. Namun, persembahan buruk di peringkat kumpulan mungkin akan memaksa Persatuan Bolasepak Argentina (AFA) untuk membayar pampasan besar kepadanya bagi membolehkan mereka memecat pengendali itu. Seperti Deschamps, aksi di pusingan kedua akan menjadi pertemuan yang getir bagi masa depannya.