Kolum Piala Dunia 2018

Die Mannschaft belum benar-benar Die (Mati)

Sumpahan atau kelemahan sendiri?

Jerman yang dicanang sebagai salah satu calon untuk mempertahan Piala Dunia kali ini mengikut jejak langkah Perancis (2002), Itali (2010) dan Sepanyol (2014) tersungkur di peringkat kumpulan.

Melihat pasukan yang berada di dalam Kumpulan F bersama Jerman; Sweden, Mexico dan Korea Selatan, skuad Die Mannschaft sepatutnya boleh melepasi peringkat kumpulan dengan mudah. Namun dua kekalahan mengejutkan kepada Mexico dan Korea Selatan telah memusnahkan harapan mereka.

Di mana silapnya? Melihat kepada skuad yang dibawa, Jerman boleh dikatakan pasukan yang kuat. Pemain seperti Manuel Neuer, Mats Hummels, Jerome Boateng, Toni Kroos, Mesut Ozil dan Thomas Muller merupakan sebahagian skuad juara Piala Dunia yang lalu. Dicampur pula dengan Marco Reus, Leon Goretzka, Timo Werner dan beberapa pemain lagi, mereka dilambakkan dengan pemain berbakat.

Namun, satu perkara yang jelas adalah betapa mereka merindui seorang ketua pasukan yang vokal dan mampu menaikkan semangat mereka. Mereka tiada seorang pemain seperti Bastian Schweinsteiger, Per Mertesacker, Oliver Kahn, Michael Ballack atau Philip Lahm, untuk memimpin mereka di tengah padang. Manuel Neuer seorang penjaga gol bagus, tapi dia bukan Oliver Kahn. Pemilihan Neuer sebagai penjaga gol utama juga menjadi isu sebelum ini kerana dia terlepas beberapa bulan beraksi dengan Bayern Munich kerana kecederaan tetapi terus diangkat menjadi penjaga gol utama mengatasi Marc Andre ter-stegen yang beraksi cemerlang bersama Barcelona.

Orang Jerman terkenal dengan kerja mereka yang teratur. Segalanya teratur dan tidak kelam kabut. Dapat kita lihat betapa teraturnya mereka dalam corak permainan mereka di Piala Dunia kali ini. Namun, keteraturan mereka ini memakan diri mereka. Segalanya menjadi lambat dan tiada keterdesakan untuk menyerang. Serangan balas pantas mereka terlalu teratur dengan hantaran-hantar pendek yang dilakukan, menyebabkan pasukan lawan sempat turun semula untuk berkampung dalam kotak penalti. Kita bandingkan dengan Jerman versi 2010, di mana serangan balas mereka teratur tetapi pantas sehingga mampu membenam Brazil 8-1 di tempat mereka sendiri.

Pemain-pemain juga bagaikan tiada keserasian. Dalam perlawanan menentang Korea Selatan, beberapa kali kelihatan pemain tidak dapat mengagak hantaran yang dilakukan oleh rakan sepasukan dan beberapa kali dua pemain bertembung sesama sendiri.

Ketua jurulatih Joachim Loew juga seakan-akan tidak tahu kesebelasan terbaiknya. Tiga perlawanan, tiga kesebelasan utama berbeza. Mungkin dia menukar kesebelasan utamanya ketika menentang Sweden kerana tewas pada Mexico, tetapi apa logik menukar kesebelasan utama ketika menentang Korea Selatan? Loew bagaikan mahu mengisi kesebelasan utamanya dengan pemain tengah dan perancang. Dia meninggalkan pemain yang berani mencuba dan menggelecek seperti Draxler dan Brandt di bangku simpanan. Ramai menyatakan kesilapan terbesar Loew adalah meninggalkan pemain Manchester City, Leroy Sane. Mungkin ya dan mungkin juga tidak. Sane memang mampu membantu serangan dengan prestasi terbaiknya sekarang, tetapi dengan sistem yang digunakan Loew, dia juga mungkin bergelut menunjukkan permainan terbaiknya.

Jadi, apa seterusnya untuk Jerman? Biarpun kegagalan ini memeritkan. Satu perkara yang pasti, Persatuan Bolasepak Jerman tidak akan membiarkan ini menjadi satu perkara normal. Mereka pasti akan menggali masalah ini sama seperti yang mereka lakukan pada tahun 2002. Mereka akan mengenal pasti masalah dan Jerman pasti akan kembali bersaing. Ia bukan masalah bakat kerana bolasepak Jerman terus melahirkan pemain berbakat saban tahun. Mereka cuma perlukan sistem yang baru dan terus mencari kombinasi terbaik untuk kembali berada di atas. Joachim Loew mungkin akan meletakkan jawatan dengan kegagalan seperti ini. Siapa jurulatih baru juga bukan masalah bagi Jerman kerana mereka setiap tahun melahirkan jurulatih baru berbakat seperti Jurgen Klopp, Thomas Tuchel, Julian Nagelsmann dan terbaru, Domenico Tedesco.

Negara lain mungkin gelakkan mereka sekarang, tetapi harimau yang terluka itu lebih merbahaya. Nantikan serangan ‘Blitzkrieg’ oleh Jerman di Kejuaraan Eropah 2020 dan Piala Dunia 2022 nanti.