Eropah Malaysia

Media Itali lapor TMJ ditawarkan saham AC Milan

Di sebalik kemeriahan Piala Dunia yang bermula malam ini, nampaknya ada satu berita besar mengenai bolasepak berkaitan Malaysia juga dikhabarkan sedang berlaku.

Sedang kecoh di Itali mengenai pemilik kelab bolasepak JDT yang juga Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah ditawarkan saham untuk memiliki kelab terkemuka Itali, AC Milan.

Menurut laporan media Itali (Il Sole 24 Ore), pemilik AC Milan dari China, Yonghong Li telah bertemu dengan seorang individu di Malaysia berkenaan pembelian saham kelab berkenaan. Setakat ini tiada pengesahan rasmi bahawa individu tersebut adalah Tunku Ismail.

Walau bagaimanapun, wartawan Sky Sports, Federico Casotti baru-baru ini memberitahu Fooball Tribe bahawa Tunku Ismail merupakan antara individu yang pernah dipertimbangkan oleh pihak pengurusan Milan.

“Nama beliau pernah diutarakan beberapa kali, terutamanya beberapa tahun lepas apabila Johor DT menandatangani Simone del Nero dan Dani Guiza. Pihak pengurusan Milan jelas memandang serius terhadap minat yang ditunjukkan oleh Tunku Ismail,” kata Federico Casotti.

TMJ juga pernah menyatakan minatnya terhadap Milan dan menyatakan jika dia akan membeli kelab di Eropah, ianya adalah AC Milan. Selain itu, JDT banyak membuat kerjasama dengan kelab-kelab di Eropah. Antaranya adalah Borussia Dortmund, di mana Gary Steven Robbat telah berlatih di sana.

Dua tahun lalu seorang usahawan daripada Malaysia, Datuk Dr. Noordin Ahmad telah membeli kelab Serie B, Bari FC. Selain itu, dua usahawan Malaysia, Vincent Tan dan Tan Sri Tony Fernandes pula memiliki dua kelab Inggeris, Cardiff City dan Queens Park Rangers.